SEORANG suami mencekik isteri yang baru dikahwini sebelum meletakkan mayat wanita itu di dalam tong sampah berminggu lamanya kerana hendak wanita itu berhenti bercakap.
Joshua Burgess, 31, kemudian menanam mayat isterinya, Shannon di halaman belakang rumah mereka kerana tidak mahu wanita itu meninggalkannya.
Dalam tempoh tujuh bulan isterinya ‘hilang’ Joshua terus berpura-pura bersedih bersama-sama dengan keluarga mentuanya.
Pegawai pendakwa, Susan Pepper memberitahu mahkamah, pasangan tersebut telah berkenalan dan berpacaran selama empat tahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
Namun tidak lama selepas itu, perkahwinan tersebut mulai goyah, malah mereka juga berada di ambang perpisahan dan pada satu hari selepas pasangan itu mengadakan hubungan seks, mereka mula bergaduh.
Mangsa dikatakan telah menghina lelaki terbabit dan turut menyatakan kekesalan berkahwin dengan Joshua.
Tidak cukup mencekik wanita itu dengan kedua-dua belah tangannya, lelaki terbabit turut menggunakan tali pinggangnya agar Shannon berhenti bercakap. Apabila wanita itu ‘diam’, mayatnya dimasukkan ke dalam tong sampah yang dibiarkan di beranda rumah kelamin mereka di Ramsay sepanjang musim sejuk.
Apabila salji mula mencair, Joshua mula menggali halaman belakang rumah mereka dan menanam jasad Shannon.
“Saya memilih untuk menanamnya di halaman rumah kerana tidak mahu dia tinggalkan saya,” ujar Joshua kepada pihak polis sewaktu dalam tahanan, tujuh bulan selepas kejadian itu.
Dalam tempoh tujuh bulan isterinya ‘hilang’, seorang pekerja kedai berhampiran rumah pasangan itu memberitahu dia pernah ternampak Joshua bersama teman baru. Mereka kelihatan sangat mesra, sering berpegangan tangan dan bercium.
Sebelum kejadian tersebut, Joshua dan Shannon masing-masing sedang berpacaran dengan orang lain dan mangsa juga merancang berpindah ke Edmonton.
Pada Julai 2015, pihak polis tiba di rumah Joshua bersama waran geledah, namun lelaki terbabit tidak membenarkan pihak berkuasa memasuki rumahnya. Selepas dipujuk selama beberapa jam, lelaki itu keluar dari rumahnya dalam keadaan berlumuran darah kerana dia cuba mengelar lehernya.
Lelaki itu kemudian dibawa ke hospital dan apabila sembuh, Joshua akhirnya mengaku membunuh isterinya.
Pengakuan Joshua itu secara tidak langsung ‘menyelamatkan’ keluarga Shannon daripada berhadapan dengan fakta dan bukti yang akan ditunjukkan pada perbicaraan itu.
Keluarga mangsa yang berada di mahkamah turut menyediakan keterangan impak mangsa yang dibacakan di mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.
“Dia membiarkan kami terseksa dalam tempoh yang sangat panjang, sengaja membiarkan kami dalam keadaan terumbang-ambing. Saya kehilangan sebahagian diri saya. Saya kehilangan kawan baik saya,”ujar kakak mangsa, Erin Madill.
Bapa Shannon, David pula menggambarkan anaknya sebagai seorang berbakat dam kematian anak gadisnya itu menyebabkan dia berasa kosong dan tanpa tujuan.
“Apa yang boleh saya lakukan sekarang ialah sentiasa mengingatinya,” ujar lelaki berkenaan.
Ketika diberi peluang untuk berkata sesuatu sebelum dijatuhkan hukuman, Joshua meminta maaf kepada keluarga mentuanya atas perbuatannya.
“Saya meminta maaf kerana gagal menjaga sumpah yang saya buat untuk menjaganya tidak kira apa juga keadaan. Untuk beberapa bulan, semua menyokong saya, memberikan saya kekuatan tanpa soal jawab, tetapi saya kecewakan anda semua dan saya benar-benar minta maaf kerana tidak berkata sesuatu lebih awal,” kata Joshua.
(Sumber Global News dan CBC)










