Catu RM400 untuk belanja sebulan - Utusan Malaysia

Catu RM400 untuk belanja sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIDUPAN yang sibuk sudah menjadi resam masyarakat yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Kesibukan itu bukan disengajakan tetapi demi meraih rezeki untuk hidup di bandar metropolitan yang menuntut perbelanjaan seharian jauh lebih besar berbanding di luar bandar.

Rata-rata penduduk bandar sanggup melakukan pelbagai pekerjaan bagi memastikan belanja dapur, persekolahan anak-anak, hutang bank, kos pengangkutan ke tempat kerja dan lain-lain dapat dibiayai dengan secukupnya.

Malah, ada penduduk sanggup berkorban masa dan tenaga untuk melakukan dua pekerjaan supaya perbelanjaan bulanan seisi keluarga cukup.

Memandangkan peluang pekerjaan yang lebih banyak ditawarkan di bandar besar, maka tidak hairanlah ibu kota Kuala Lumpur menjadi daya tarikan golongan muda untuk berhijrah dan bekerja di sini bagi mencari rezeki.

Namun, di sebalik kesibukan kota raya dan kepesatan ekonominya, tidak semua penduduknya bernasib baik apabila terpaksa menjalani kehidupan serba kekurangan atau lebih tepat masyarakat ini dikategorikan dalam kumpulan penduduk miskin bandar.

Harga rumah yang terlalu mahal bagi kumpulan penduduk B40 tentunya membuatkan ketua keluarga tidak mampu memiliki rumah sendiri walaupun sekadar pangsapuri. Rata-rata harga seunit pangsapuri tiga bilik dengan saiz lantai 800 kaki persegi (kps) kini mencecah lebih RM300,000.

Atas faktor itu, ketua keluarga tidak mempunyai pilihan melainkan berteduh di rumah pangsa yang dibina di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan keluasan 700 kps.

Salah sebuah keluarga miskin bandar berkongsi cerita dengan S2. Menyewa di PPR Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, Ahmat Hassan, 62, dan isterinya, Zaida Abd. Aziz, 55, mengakui saiz rumah yang kecil itu tidak selesa untuk menempatkan isteri dan tiga anak.

Tinjauan S2 mendapati, keluarga ini tinggal dalam persekitaran yang tidak selesa dan boleh dikatakan daif.

Tanpa berselindung, Ahmat menceritakan bagaimana pendapatannya tidak mampu menyara hidup isteri dan anak-anak sehingga mendesaknya untuk mencatu keperluan asas seperti makanan, air, dan bekalan elektrik bagi menjimatkan perbelanjaan harian.

“Hidup kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kadang-kala saya dan isteri terpaksa mengikat perut apabila wang tidak mencukupi untuk belanja dapur,” katanya yang tidak bekerja.

Ditanya kenapa tidak bekerja, katanya, dia perlu berada di rumah menemani isteri yang terlantar dan tidak mampu berjalan selepas diserang strok pada awal tahun ini.

Melihat keadaan isteri yang lumpuh dan tidak mampu mengurus diri sendiri memaksa Ahmat yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu teksi, berhenti kerja.

“Semasa bekerja pun, pendapatan sentiasa tidak cukup. Apatah lagi hidup di bandar besar semuanya mahal. Dalam keadaan hidup yang sentiasa kekurangan wang, hidup kami diuji pula dengan masalah kesihatan.

“Apabila isteri sakit, saya tidak sampai hati meninggalkannya keseorangan di rumah. Jadi, terpaksalah saya berhenti kerja dan kini tidak lagi mempunyai sumber pendapatan,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri kini bergantung hidup pada wang sebanyak RM400 sebulan yang diberikan dua anaknya yang bekerja sebagai jurujual.

“Itu sahaja yang anak-anak mampu berikan. Saya faham dan tidak meminta lebih daripada itu kerana gaji anak-anak sebagai jurujual berapalah sangat.

“Dengan duit sebanyak itu saya berusaha berjimat apa yang boleh. Namun, tentulah tidak mencukupi kerana selain belanja saya dan isteri, saya mempunyai seorang anak yang masih bersekolah.

“Disebabkan itu, saya terpaksa mencatu wang perbelanjaan tersebut bagi memastikan wang cukup untuk kegunaan sebulan,” katanya dalam nada sedih.

Berhenti kerja jaga isteri sakit

KASIHNYA pada isteri tidak berbelah bahagi. Melihat kesihatan Zaida yang semakin merosot, hati Ahmat bertambah sayu.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini memberitahu, Zaida kini tidak mampu berjalan selepas diserang strok pada awal tahun ini yang mengakibatkannya lumpuh hampir separuh badan.

Sejak itu katanya, dia tidak lagi bekerja untuk mencari rezeki kerana mahu menjaga isteri sepenuh masa.

Ini kerana, dia perlu berada di rumah untuk mengurus isteri yang uzur. Keadaan tubuh isteri yang tidak berupaya berjalan sendiri tanpa dibantu menimbulkan belas ihsan suami untuk menjaga keperluan harian seperti memandikan, memberi makan dan ubat.

Zaida yang kelihatan uzur tidak banyak berkata-kata, mungkin kerana masih terkejut dengan keadaan yang menimpanya.

Mengulas lanjut Ahmat memberitahu, keadaan isterinya yang lumpuh memerlukan penjagaan rapi selain perlu mendapatkan rawatan susulan sebulan sekali terutama rawatan fisioterapi.

“Kalau nak ikutkan, doktor menyuruh saya membawa isteri mendapatkan rawatan fisioterapi dua kali seminggu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (dahulunya dikenali Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Namun apakan daya, kekangan kewangan memaksa saya untuk merayu kepada doktor membenarkan isteri saya menjalani fisioterapi hanya sebulan sekali,” katanya.

Isterinya yang juga menghidap kencing manis turut memerlukan suntikan insulin sekiranya kadar gula tinggi dalam darah.

Mengakui kos rawatan isterinya memakan jumlah perbelanjaan yang tinggi, Ahmat reda dengan ujian daripada Allah.

“Saya reda dengan ketentuan Allah. Ujian ini mengukuhkan keimanan saya terhadap Yang Maha Esa selain mengeratkan hubungan suami isteri.

“Memang susah untuk menjaga isteri yang terlantar sakit, tambahan pula dia tidak mampu bergerak. Saya perlu memandikannya, menyuap makanan dan membancuh susu untuknya.

“Kadangkala, kalau saya terlampau penat, anak akan membantu saya memandikan dan menjaga isteri semasa mereka berada di rumah,” katanya.

Menurut Ahmat, dia yang masih belum mendapat sebarang bantuan memberitahu tidak mahu menyusahkan pihak lain lantaran kemiskinan hidupnya di bandar.

“Kalau boleh saya tidak mahu susahkan orang. Tak apalah kalau sesekali kami terpaksa berlapar,” katanya yang mengakui terpaksa mengikat perut bagi memastikan perbelanjaan seharian tidak melebihi bajet yang ditetapkan.

Menurutnya, susu formula khas untuk penyakit strok yang dialami isteri terpaksa disukat iaitu minum sehari sekali sahaja sedangkan doktor menyarankan dia memberikan susu itu enam kali sehari.

Ahmat yang tidak tahu cara memohon bantuan daripada pihak tertentu termasuk Baitulmal mahupun pusat zakat berharap ada pihak tampil membantunya mendapatkan bantuan mengikut saluran yang betul.

“Kejadian isteri diserang strok baru sahaja berlaku dan saya tidak sempat mendapatkan maklumat mengenai cara-cara mendapatkan bantuan daripada pihak berkenaan,”ujarnya.

Mereka atau pihak tertentu yang mahu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan kepada Ahmat menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1419929000048127.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN