BANGKOK 4 Feb. – Pihak-pihak berkepentingan, sama ada jabatan kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan golongan muallaf di negeri Perlis disarankan untuk bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi sentiasa mencari pendekatan-pendekatan baharu dalam mempertingkatkan perkhidmatan menyantuni golongan asnaf tersebut.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha sedemikian jika digerakkan bersama akan memberi impak yang lebih sepadu.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Masjid Nana yang terletak di Tingkat 2, Soi Sukhumvit 3/1, Khwaeng Khlong Toei Nuei, Khet Watthana, di sini, malam semalam.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Sumbangan kecil MAIPs tersebut diterima oleh muazzin masjid berkenaan, Abu Sahar Sidik.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menambah bahawa pihak MAIPs telah mewujudkan sebuah organisasi dikenali sebagai ‘One Centre Malaysia PERLIS’ bertujuan untuk memainkan peranan melaksanakan aktiviti dan mengadakan pendekatan lebih menarik bagi memperjelaskan persepsi yang lebih baik kepada masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam.
Untuk rekod, negeri Perlis telah mendahului pandangan dengan meluaskan pentafsiran golongan muallaf kepada yang muslim dan juga mereka yang bukan muslim, yang diharapkan dapat menyantuni mereka dan memberikan persepsi yang baik mengenai ajaran Islam. – UTUSAN ONLINE










