HULU LANGAT 16 Feb. – Calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali mahu calon-calon lain berkempen secara sihat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Beliau berharap proses berkempen berjalan lancar selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.
“Saya berharap proses berkempen berjalan lancar berdasarkan nas-nas demokrasi dan undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Semua calon dapat bertanding secara sihat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian dekat sini hari ini.
Muhammad Aiman merupakan menantu kepada penyandang DUN Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd. Nor.
Anak tempatan Semenyih itu adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kelas pertama dan kini sedang mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah dalam bidang yang sama.
Ketika ditanya mengenai calon Barisan Nasional yang lebih matang dan berpengalaman, Muhammad Aiman berkata, beliau juga mempunyai kekuatan tersendiri.
Jelasnya, sebagai orang muda, beliau sangat dekat dengan golongan muda di Semenyih.
“Saya juga banyak rakan-rakan di Semenyih. Semua itu rakan rakan saya.
“Saya tidak ada masalah untuk berhubung dan membantu sama-sama untuk bekerja,” katanya.-UTUSAN ONLINE










