Calon, ahli parti diminta berhemah dan ikut arahan polis - Utusan Malaysia

Calon, ahli parti diminta berhemah dan ikut arahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Semua calon dan ahli parti diminta untuk sentiasa berhemah ketika terlibat dalam sebarang pilihan raya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun juga meminta mereka mengikut arahan polis demi menjaga keselamatan pada setiap masa.

“Saya ingin meminta semua calon dan ahli parti yang terlibat dalam mana-mana pilihan raya untuk sentiasa berhemah dan mengikut arahan polis demi menjaga keselamatan pada setiap masa.

“Pilihan raya bukan medan perang, mari kita semua tunjuk pada dunia bahawa kita beradab dan matang,” katanya dalam laman Twitter beliau, hari ini.

Kenyataan Azhar Azizan dipercayai merujuk kepada insiden kekecohan di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih hari ini apabila Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terpaksa dikawal ketat dan diiringi polis untuk keluar dari pusat tersebut.

Kejadian berlaku apabila Syed Saddiq yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan melewati kumpulan penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) yang berkumpul berhampiran Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian yang menjadi pusat penamaan calon pilihan raya kecil tersebut.

Syed Saddiq membuat laporan polis berhubung serangan secara fizikal oleh sekumpulan penyokong pembangkang selepas tamat penamaan calon PRK DUN Semenyih.

Kata beliau, dirinya diserang oleh seorang Exco Pemuda UMNO yang didakwa telah mengcekak lehernya dengan kuat dan mengugutnya supaya keluar dari kawasan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN