CADANGAN kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan caj kesesakan di empat lebuh raya di Lembah Klang seolah-olah mengenepikan manifesto mereka yang mahu menghapuskan sistem kutipan tol di semua lebuh raya negara ini.
Bukan tidak bersetuju dengan langkah yang dilakukan itu cuma cadangan tersebut agak pelik. Mengapa tol percuma dikenakan pukul 11 malam hingga 5 pagi.
Adakah waktu itu diberikan kepada mereka yang bekerja shift malam sedangkan waktu masuk kerja golongan tersebut antara pukul 9 atau 10 malam.
Jika mahu dikenakan caj itu bagi mengelak berlakunya kesesakan ke ibu negara maka wajarlah waktu pejabat bagi semua perkhidmatan tidak kira kakitangan awam dan swasta perlu diubah sebelum pukul 5 pagi.
Secara realitinya rakyat Malaysia menantikan penghapusan tol yang menjadi antara kandungan manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Dengan pelbagai jenis kempen yang menerobos ke seluruh pelusuk media termasuk media sosial adalah wajar kerajaan perlu menghapuskannya.
Masih ingat lagi bagaimana lakonan tiga individu yang resah dan geram apabila melalui pondok tol dalam kempen PRU lalu menerusi media sosial.
Duit tidak cukup, nak tonton wayang tidak boleh, nak makan di restoran makanan segera tidak boleh gara-gara kena bayar tol.
Rakyat sekarang bukan rakyat dahulu. Rakyat sekarang menuntut janji manifesto yang menuntut perjuangan mereka supaya nasib dibela.
Jika sekadar mengenakan caj kesesakan itu maknanya bukan mengurangkan beban warga kota tetapi menambah lagi derita mereka yang telah lama membayar tol. – UTUSAN ONLINE











