Cadangan Bangsa Kedah tak masuk akal - Utusan Malaysia

Cadangan Bangsa Kedah tak masuk akal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 7 Feb. – Pemuda UMNO negeri menyelar cadangan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul untuk mewujudkan konsep Bangsa Kedah seperti mana di Johor untuk mengeratkan lagi perpaduan masyarakat di negeri ini.

SYED MOHD JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI
SYED MOHD JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI 

Ketua Penerangannya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, konsep dan pelaksanaan yang baik di sesuatu tempat tidak bermakna ia juga sesuai dilaksanakan di tempat lain.

Menurutnya, perpaduan dalam kalangan masyarakat Kedah amat baik sehinggalah kehadiran pembangkang yang kini menjadi kerajaan menghasut rakyat sehingga membawa perpecahan dan berpuak-puak.

“Pemuda UMNO Kedah sangat bersetuju jika perpaduan antara masyarakat dan kaum perlu diperkukuh lantaran pelbagai isu melingkari hubungan antara kaum yang mengeruhkan lagi keadaan.

“Namun, anda (Johari) yang dicanang-canang bakal Menteri Besar Kedah yang sedang menanti giliran, janganlah bagi idea yang jelas menampakkan ketidakupayaan berfikiran jauh,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya di sini hari ini.

Kelmarin, Johari meminta rakyat Kedah bersatu padu dengan mewujudkan konsep seperti Bangsa Kedah bagi mengenepikan pertelingkahan politik untuk bersama-sama membangunkan Kedah menjadi sebuah negeri maju.

Mengulas lanjut, ujar Syed Mohd. Johan Rizal, perpecahan antara kaum kini sememangnya semakin membesar yang dapat dilihat menerusi komen-komen dalam media sosial terhadap sesuatu isu.

“Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, adakah perpaduan semakin baik atau bertambah buruk. Bukankah kerajaan PH gagal mengawal beberapa isu sehingga menyebabkan jurang pemisahan antara kaum semakin meresahkan.

“Jika setakat Johari memberi cadangan tetapi realitinya Kerajaan Pusat dan negeri tidak mengambil tindakan proaktif dalam menyatu dan merapatkan masyarakat, maka Johari boleh terus bermimpi soal penyatuan,” katanya lagi.

Kata beliau, iklim politik di Kedah tidak pernah dilihat berpecah-belah biar pun parti mana yang memerintah kerana hubungan kerajaan dan pembangkang sejak dahulu amat akrab demi mencapai matlamat menjayakan pentadbiran kerajaan negeri. 

Ujarnya, pandangan politik parti mana sekali pun diraikan tanpa emosi dan profesional, namun kritikan yang dilihat di dalam media adalah perkara biasa kerana hakikatnya hubungan antara wakil-wakil rakyat sebelum ini cukup positif. 

“Mungkin apabila Johari sudah bergelar Menteri Besar Kedah suatu hari nanti, beliau boleh memikirkan kaedah yang lebih baik untuk menyatukan masyarakat dan kejayaan penyatuan itu boleh menjadi contoh kepada negeri lain pula tanpa perlu mewujudkan konsep Bangsa Kedah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×