Cadang tubuh Kumpulan Wang Amanah Nelayan bagi bantu yang tak upaya ke laut - Utusan Malaysia

Cadang tubuh Kumpulan Wang Amanah Nelayan bagi bantu yang tak upaya ke laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 21 Feb. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang untuk mewujudkan sebuah tabung Kumpulan Wang Amanah Nelayan bagi menjaga kebajikan mana-mana golongan itu yang dikategorikan sebagai tidak berupaya lagi turun ke laut atas pelbagai faktor.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, inisiatif terbaharu itu bagi memastikan komuniti nelayan yang bergantung kepada pendapatan menangkap ikan tidak terabai.

Menurutnya, tabung tersebut menyasarkan golongan yang sudah bersara, hilang upaya kekal dan diserang penyakit yang mengakibatkan mereka tidak mampu lagi untuk mencari rezeki di laut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kumpulan Wang Amanah Nelayan ini akan diusahakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Agensi ini sedang merangka model yang bersesuaian untuk mewujudkan tabung itu.

“Kita sedang meneliti segala data seperti jumlah penerima, cara pemberian dan perkara-perkara berkaitan untuk memastikan faedahnya sampai kepada golongan yang sepatutnya,” katanya selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan kementerian itu di Kuala Sala, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin dan Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil.

Tambah Salahuddin, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan persatuan-persatuan nelayan kawasan untuk mengenal pasti nelayan yang termasuk dalam kategori yang dimaksudkan itu.

Sementara itu, Salahuddin dalam ucapannya memberi jaminan akan menambah jumlah elaun sara hidup nelayan pada masa hadapan melalui peruntukan tambahan yang akan dipohon.

Katanya, nelayan dinasihatkan menerima dahulu elaun berkenaan secara purata iaitu RM200 sebulan dan tidak menolak kemungkinan jumlah itu ditambah setelah ekonomi negara semakin baik.

“Saya akan bertanggungjawab untuk membantu dan membela nelayan… Saya akan pohon bajet tambahan dari Kementerian Kewangan, cuma saya minta golongan nelayan jangan dengar cakap orang lain dan terima bulat-bulat berita yang tak sahih.

“Dengar cakap menteri kerana saya sendiri akan berjuang untuk anda semua, jangan bimbang kerana kerajaan sekarang dalam fasa memulihkan ekonomi negara, apabila dah bertambah baik kita akan beri lebih,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×