KUALA LUMPUR 10 Feb. – Kerajaan Sabah seharusnya mempertimbang cadangan untuk meminda Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 bagi mengekang aktiviti pembunuhan penyu di perairan negeri tersebut.
Menurut aktivis haiwan, Tan Sri Lee Lam Thye, pindaan tersebut adalah untuk menjadikan perbuatan membunuh haiwan yang dilindungi sepenuhnya sebagai kesalahan liabiliti ketat dan hukuman ke atas pesalah dapat ditingkatkan.
“Di Sabah, penyu adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.
“Walaupun undang-undang sedia ada memberikan hukuman keras, ia gagal untuk menghalang pemburu haram terutamanya dalam kalangan warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rabu lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menahan tiga lelaki warga asing kerana menangkap dan membunuh penyu di perairan Pulau Ligitan, Semporna, Sabah.
Mengulas lanjut, Lam Thye berpendapat selain pindaan tersebut, terdapat juga keperluan untuk menyeragamkan undang-undang bagi melindungi penyu di seluruh negara.
Kata beliau, ketika ini setiap negeri menguatkuasakan undang-undang mereka sendiri termasuk berkaitan perdagangan haram dan larangan memakan telur penyu namun mengikut analisis dan pengalaman Dana Sedunia Alam Sekitar (WWF), ia tidak mencukupi.
“Saya percaya bahawa undang-undang yang ketat serta peningkatan aspek pendidikan dan kesedaran awam dapat membantu melindungi spesies terancam tersebut yang semakin berkurangan bilangannya sejak beberapa dekad yang lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










