SEREMBAN – Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini berhubung petisyen untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), membuktikan kes ini telah diadili dengan sebaiknya, kata Naib Ketua Cabang PKR Rembau, Dr. S. Streram.
Beliau yang juga bekas calon PKR bagi kerusi DUN Rantau turut menganggap keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuan timbalan presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan Mohamad untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu itu juga, seolah-olah mengembalikan haknya yang sebelum ini telah dinafikan.
“Keputusan ini memang sudah saya jangka, kita telah mendapat kehakiman yang sangat baik di Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban termasuk di Mahkamah Persekutuan.
“Akhirnya terbuktilah apa yang berlaku semasa hari pencalonan PRU-14 yang mana saya tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan di Dewan Seri Rembau kerana gagal mempamerkan pas calon, merupakan tindakan yang tidak sewajarnya berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum hari ini menolak rayuan Mohamad untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau sebagai terbatal dan tidak sah. – Bernama









