WASHINGTON 28 Feb. – Anggota Republikan di dalam Kongres Amerika Syarikat (AS) telah memperkenalkan rang undang-undang yang bertujuan untuk mengiktiraf Bukit Golan di Syria sebagai wilayah Israel.
Press TV melaporkan, langkah yang dibawa oleh Senator Ted Cruz dan Tom Cotton serta Mike Gallagher itu ‘mengutip situasi kebimbangan’ terhadap ancaman dari Iran.
“AS telah lebih daripada 40 tahun menyatakan komitmen memastikan keselamatan Israel daripada sebarang serangan di seluruh Bukit Golan.
“Ancaman Iran terhadap AS dan Israel memerlukan kepada pengiktirafan realiti penguasaan Israel terhadap wilayahnya sebagai keselamatan nasional,” jelas penaja rang undang-undang tersebut.
Rang undang-undang itu setakat ini belum mendapat sokongan Demokrat.
Pegawai tertinggi Israel telah sekian lama mendesak pengiktirafan AS terhadap ‘kedaulatan rejim Zionis’ di Bukit Golan yang dirampasnya dari Syria pada 1967.
Desakan itu sampai ke kemuncak setahun lalu selepas Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.










