Bukit Durian jadi tarikan penduduk Gua Musang - Utusan Malaysia

Bukit Durian jadi tarikan penduduk Gua Musang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 11 Feb. – Bukit Durian yang terletak di Bandar Utama di sini menjadi destinasi terbaharu penduduk daerah ini untuk melakukan beriadah.

Sejak dibuka hampir setahun lalu oleh pemaju perumahan Bandar Utama, kawasan Bukit Du­rian sentiasa dipenuhi pe­ngun­jung terutamanya waktu hujung minggu untuk melakukan aktiviti gaya hidup sihat seperti bersenam dan mendaki bukit.

Pemandangan menghijau yang mengelilingi kawasan bu­kit yang berketinggian kira-kira 260 meter itu dan sebuah tasik buatan menambah keindahan semula jadi Bukit Durian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang penduduk, Azura Jusoh, 48, berkata, selain mempunyai kawasan trek untuk berjoging, Bukit Durian juga menjadi tumpuan orang ramai untuk melakukan aktiviti mendaki dan berbasikal.

“Bukit ini amat sesuai untuk beriadah keluarga kerana kawasannya bersih, selamat dan bukitnya sesuai untuk aktiviti mendaki yang boleh dinaiki oleh semua peringkat umur terma­suklah kanak-kanak.

“Pada hari minggu teruta­ma­nya Jumaat dan Sabtu di kawasan ini macam pesta,” kata­nya ketika ditemui di sini hari ini.

Azlina Wahab, 50, yang tinggal di Taman Wangi pula berkata, setiap hari dia bersama ahli keluarga dan rakan-rakannya tidak akan melepaskan peluang untuk mendaki Bukit Durian.

Katanya, penduduk Gua Musang telah menjadikan aktiviti mendaki di bukit itu sebagai hobi baharu mereka untuk menjaga kesihatan.

“Pada waktu pagi suasana di puncak Bukit Durian sejuk dan berkabus seperti kita berada di kawasan tanah tinggi. Sementara itu, pada waktu petang pula, kita dapat menyaksikan keindahan bandar Gua Musang dan matahari terbenam,” katanya.

Sementara itu, Ruzaini Bakar, 47, pula berharap agar pihak pemaju perumahan Bandar Utama menambah peralatan se­naman di kawasan itu kerana hanya mempunyai trek joging sahaja.

“Kita melihat bukit ini sudah menjadi tumpuan bukan sahaja di Gua Musang, tetapi dari seluruh negeri ini yang meminati aktiviti mendaki.

“Kita berharap, pihak berwajib dapat menyediakan kemudahan tambahan untuk pengunjung terus melakukan aktiviti sihat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini