Bukan PM kecewa prestasi menteri - Utusan Malaysia

Bukan PM kecewa prestasi menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 12 Feb. – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyangkal dakwaan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) disebabkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak berpuas hati dengan prestasi menteri-menteri Kabinet.

Beliau menegaskan, penubuhan majlis yang terdiri daripada individu pelbagai kepakaran dan kemahiran itu diperlukan dalam memberi input berguna kepada kerajaan.

“Kita dalam Pakatan Harapan (PH) bertindak secara kolektif, keputusan jemaah menteri juga dibuat secara kolektif.

“Sudah tentu input mereka amat penting untuk kerajaan perhalusi dan keputusan juga akan dilakukan secara bersama kerana tindakan yang akan diambil itu akan memberi kesan positif kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan perkhidmatan sewa khas untuk haji dan umrah, Amal oleh Malaysia Airlines di sini hari ini.

Tokoh wartawan, Datuk A. Kadir Jasin hari ini dalam blognya, The Scribe A. Kadir Jasin mendakwa, penubuhan MTE oleh Dr. Mahathir semalam mempunyai maksud tersirat apabila Perdana Menteri merasakan Kabinet tidak memadai untuk menangani isu-isu ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat.

Matlamat utama majlis yang akan dipengerusikan Perdana Menteri itu adalah untuk me­rancak dan merangsang pertumbuhan ekonomi mampan, pengagihan kekayaan saksama serta meningkatkan kesejahte­raan rakyat.

Mengulas lanjut Moha­med Azmin berkata, mesyua­rat pertama majlis itu akan dibuat dalam masa terdekat memandangkan perkara yang perlu dibincangkan adalah isu mendesak mengenai ke­sejahteraan rakyat.

“Majlis ini akan melihat apakah pendekatan segera dan jangka sederhana untuk menangani masalah rakyat selain pelaksanaannya itu nanti dapat menghasilkan kesan yang positif,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN