Bot nelayan tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia - Utusan Malaysia

Bot nelayan tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesahkan terdapat sebuah bot nelayan tempatan telah ditahan pihak berkuasa Indonesia hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, bot PKFB 1689 itu dikesan memberi isyarat menerusi pancaran kecemasan dari sistem identifikasi automatik bot dan didapati masih berada  di 99.72 kilometer dari barat Pulau Talang, Perak di perairan Malaysia. 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, susulan itu, kapal milik Maritim Malaysia iaitu KM Gagah telah ditugaskan ke lokasi kejadian bagi mengesan bot berkenaan.

“Bot tersebut berasal dari Pantai Remis dan mempunyai empat orang pekerja terdiri seorang warganegara Thailand dan tiga Kemboja berjaya diselamatkan.

“Hasil maklumat mendapati, bot ini telah dikejar dan kemudiannya pada posisi 58.8 batu nautika Barat Laut Pulau Talang, Perak, bot berkenaan ditarik oleh pihak berkuasa memasuki perairan Indonesia menghala ke Medan kira-kira pukul 1.29 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Zubil, selain itu Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Mahameru juga telah dikerah ke lokasi kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi.

“Sementara pihak kita juga turut menghubungi pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur dan Konsular Indonesia di Pulau Pinang bagi mendapatkan maklumat mengenai insiden tersebut.

“Kejadian ini merupakan tangkapan keempat membabitkan bot nelayan tempatan oleh pihak penguasa Indonesia di dalam perairan Malaysia sepanjang bulan Februari tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN