KUANTAN 16 Feb. – Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan dekat sini dipanggil bagi membantu mengangkat seorang wanita obesiti dengan berat badan lebih 150 kilogram untuk dipindahkan dari Hospital Pekan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Penolong Penguasa Bomba Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan dari Hospital Pekan untuk mendapatkan bantuan mengangkat pesakit berusia 23 tahun itu kira-kira pukul 11.15 malam.
“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengangkat pesakit itu yang turut menghidap asma ke lori bomba.
“Wanita itu kemudian dibawa ke HTAA dengan menggunakan kenderaan bomba dan dipantau oleh pegawai perubatan dan kakitangan hospital,” katanya di sini hari ini.
Wan Samsul Effendi berkata, wanita itu sampai di HTAA kira-kira pukul 12.20 tengah malam sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut. – UTUSAN ONLINE










