KUALA LUMPUR 10 Feb. – Pada Selasa, seperti yang ditetapkan sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini dijangka memulakan pendengaran kes yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia pertama yang berhadapan dengan berpuluh-puluh tuduhan berhubung dengan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah (CBT) dan rasuah.
Tuduhan di mahkamah terhadap Najib, 66, Perdana Menteri keenam dari April 2009 hingga Mei 2018, menarik perhatian seluruh dunia setelah kesnya digambarkan sebagai ‘skandal kleptokrasi paling buruk’ dan tuduhan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang mendapat perhatian hangat dari masyarakat umum dan antarabangsa, menyebabkan pelbagai spekulasi dan ada yang terpaku oleh kes itu.
Sehingga Jumaat, Najib telah didakwa di mahkamah sebanyak enam kali dengan 42 pertuduhan jenayah. Najib, yang juga bekas Presiden UMNO, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.
Sumber memberitahu Bernama bahawa pihak pendakwaan siap dengan sembilan saksi untuk memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan itu dan antara mereka pegawai kerajaan.
“Kami bersedia dengan sembilan saksi tetapi ia bergantung kepada bagaimana perbicaraan berlangsung pada hari itu.
Kami juga menyediakan kenyataan saksi dan selepas saksi membaca kenyataan mereka, pembelaan akan menyoal balas mereka,” kata sumber ketika ditanya mengenai prosiding perbicaraan itu nanti.
Sumber itu juga berkata, sama ada perbicaraan itu akan diteruskan atau tidak pada hari Selasa, ia bergantung kepada rayuan Najib untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan didengar pada petang Isnin di Mahkamah Rayuan.
Najib memohon menangguhkan perbicaraan tujuh pertuduhan itu sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan pendakwa raya menarik balik sijil pemindahan.
Sumber juga memaklumkan bahawa pada Isnin (11 Februari) pihak pendakwaan akan memohon untuk memindahkan tiga tuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Najib pada 8 Februari 2019, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
“Kami juga akan meminta tiga tuduhan tambahan untuk dibicarakan bersama dengan tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram yang dibawa ke mahkamah pada 8 Ogos lepas, kerana ia melibatkan dana yang sama (SRC International),” kata sumber itu. – BERNAMA











