‘Biar trofi pudar, tapi sejarah takkan pudar’ - Utusan Malaysia

‘Biar trofi pudar, tapi sejarah takkan pudar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Pemain import Selangor, Rufino Segovia menyifatkan trofi kasut emas yang dimenanginya sekadar simbol, dengan pencapaian sebagai penjaring terbanyak dalam Liga Malaysia akan kekal selama-lamanya.

Pemain dari Sepanyol itu meledak 31 gol dalam saingan Liga Super musim lalu untuk muncul penjaring terbanyak dan meraih Anugerah Kasut Emas dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018.

Pemain berusia 33 tahun itu berkata, tiada sebab untuk dia tidak berbangga dengan trofi kasut emas yang diraihnya itu.

“Pada saya trofi yang saya terima itu bagus dan saya bangga dapat memenanginya.

Ia kenangan manis dalam hidup saya dan jika trofi itu pudar sekali pun, hakikatnya sejarah yang saya cipta atas bantuan dan sokongan rakan sepasukan ini tidak akan padam,” ujarnyanya.

Sementara itu, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar menganggap, meraih trofi merupakan satu kepuasan nilai sentimental tersendiri daripada memperolehi wang tunai dalam mana-mana anugerah peribadi antaranya kategori pemenang kasut emas.

Jelas Baddrol yang pernah memenangi kasut emas bagi kategori pemain tempatan pada 2017, trofi adalah lebih relevan buat pemain-pemain kerana ia menjadi penanda terbaik buat kejayaan terbaik peribadi sepanjang dalam karier mereka.

Lebih tepat, pemain tengah yang berusia 31 tahun itu berkata, trofi adalah lebih ideal dan sinonim dengan kejayaan peribadi pemain dalam usaha menghargai pencapaian terbaik mereka.

“Secara peribadi, jika diberikan pilihan (sama ada trofi atau wang tunai) saya akan memilih trofi. Wang tetap akan habis tetapi trofi akan kekal bersama pemain.

“Sebagai contohnya, pemenang Ballon d’Or sendiri pun tidak mendapat wang tunai tetapi sebaik mereka berjaya memegang trofi itu sukar untuk menggambar kepuasan tersebut.

“Mungkin ABK tidak seprestij Ballon d’Or, tetapi pemain Liga Malaysia pun berkongsi perasaan sama seperti mereka.

“Saya masih mengingati kejayaan itu ketika memenangi ABK 2017 dan daripada emosi saya sendiri, saya sangat terharu dan gembira kerana ada satu ‘benda’ yang menjadi penanda untuk pencapaian terbaik saya pada tahun itu.

“Perjalanan karier bola sepak bukanlah tempoh lama dan banyak kenangan pahit manis pemain. Jadi, kejayaan (anugerah) peribadi seperti kasut emas sangat bermakna buat pemain seperti kami dan saya fikir kami lebih gemar memiliki trofi berbanding wang tunai,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN