SHAH ALAM 7 Feb. – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan menyerahkan kepada orang ramai dan akar umbi parti untuk menilai apakah beliau calon tepat bagi memimpin UMNO yang dalam keadaan krisis dan seterusnya membawa parti itu keluar daripada masalah tersebut.
Mohamad berkata, walaupun beliau memiliki pengalaman korporat dan berjaya memacu kemajuan kepada Negeri Sembilan, ketika bergelar Menteri Besar hingga menyaksikan negeri itu memiliki hampir RM1 bilion dalam kantung kerajaan negeri, penilai terbaik terhadap kemampuan seseorang pemimpin adalah rakyat serta ahli parti.
“Soal apakah saya orang yang tepat atau tidak, itu biar rakyat dan ahli akar umbi menilai tetapi kalau kita bercakap soal menangani krisis, saya boleh kata saya orangnya,” katanya menjawab pertanyaan Tan Sri Johan Jaafar apakah beliau individu tepat untuk memimpin UMNO dalam keadaan krisis sempena program Bicara Minda di sini hari ini.
Mohamad lulus ujian pertamanya sejak menjalankan tugas Presiden apabila berjaya membawa UMNO serta Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, iaitu kemenangan pertama kepada BN dalam empat PRK dan lebih manis menyaksikan pertambahan majoriti undi. – UTUSAN ONLINE










