Bersatu umum calon 14 Februari - Utusan Malaysia

Bersatu umum calon 14 Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan calon yang bakal mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 14 Februari depan. 

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara umumnya Bersatu dan PH sudah bersedia untuk menghadapi PRK Semenyih dan calon yang akan dipilih itu nanti bakal diumumkan oleh beliau ataupun Pengerusi Bersatu, Tun. Dr. Mahathir Mohamad. 

“Profilnya akan diberitahu selepas kita umumkan, siapa dia, latar belakang, kedudukan dalam parti, kelayakan dari segi akademik dan lain-lain yang dianggap sesuai  menjadi wakil masyarakat di DUN Semenyih. 

“Kita akan ambil kira juga faktor anak tempatan kerana dalam banyak pertemuan dengan pemimpin dan masyarakat setempat, mereka mahukan orang tempatan, tapi orang tempatan mestilah berkelayakan, berkemampuan, baik budi bahasa juga akan diambil kira selain terlibat dalam parti politik kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Hulu Langat dan ketua kampung serta penghulu di DUN Semenyih dekat sini hari ini. 

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri sementara itu turut menjelaskan, Bersatu tidak menghadapi apa-apa isu besar yang boleh menjejaskan kempen parti itu menjelang hari pengundian PRK Semenyih pada 2 Mac depan. 

“Saya fikir tiada isu besar, kita akan jelaskan, isu kepemimpinan tidak ada masalah, isu Setiausaha Agung kita, dia dah jawab dan tak perlu dijelaskan. Bagi saya yang penting jentera kita mesti bersatu dan begerak dalam satu pasukan mantap.

“Ini bukan satu pilihan raya yang mudah, kita mesti ambil sikap ini merupakan tugas yang besar. Saya dah banyak pengalaman dalam pilihan raya, tidak ada satu pun yang mudah untuk menang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN