Bersatu Gerik sokong bubar jawatankuasa bahagian - Utusan Malaysia

Bersatu Gerik sokong bubar jawatankuasa bahagian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR 19 Feb. – Ahli-ahli Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Gerik hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan kepemimpinan Pusat membubarkan jawatankuasa bahagian tersebut.

Pada masa sama, mereka turut menyatakan sokongan penuh terhadap Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merangkap Menteri Besar, untuk terus mengemudi parti di peringkat negeri.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Gerik, Ayob Ab Rahman berkata, Ibrahim Hanafiah tidak layak untuk mempertikai keputusan pucuk pimpinan parti yang membubarkan jawatankuasa bahagian kerana beliau sendiri tidak menjalankan amanah selaku Ketua Bersatu Bahagian Gerik dengan sebaiknya.

“Kami telah sekian lama kecewa dengan kepemimpinan beliau yang gagal memberikan komitmen. Malahan, amat jarang sekali beliau berjumpa barisan jawatankuasa bahagian, apatah lagi turun bertemu ahli-ahli Bersatu Gerik sejak beliau dilantik dari awal.

“Beliau juga kurang penglibatan serta mengadakan program-program Bersatu di peringkat bahagian sejak dari Bersatu Gerik ditubuhkan. Disebabkan itu, Bersatu Gerik tidak dapat bergerak dengan lancar biarpun barisan jawatankuasa lama masih kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang dihadiri kira-kira 50 ahli Bersatu Gerik dari pelbagai peringkat dan turut dihadiri oleh bekas Naib Ketua Bahagiannya, Abdul Ghani Abd Kadir di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, lapan Ketua Bahagian Bersatu di negeri ini termasuk Ibrahim enggan menerima notis pembuburan bahagian masing-masing ekoran menganggapnya sebagai tidak sah kerana mendakwa ia melanggar perlembagaan parti selain mendesak Ahmad Faizal untuk meletak jawatan.

Dalam pada itu, Ayob berkata, kenyataan dibuat oleh Ibrahim adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili suara ahli-ahli di peringkat akar umbi, justeru menjadi tanggungjawabnya untuk memberikan gambaran sebenar walaupun tidak berniat untuk memburukkan sesiapa.

Menurut Ayob, ahli-ahli Bersatu Gerik mahu Ibrahim menerima keputusan yang telah diputuskan oleh kepemimpinan Pusat itu demi kebaikan parti.

“Ini adalah masa bagi ahli-ahli Bersatu untuk terus mara dan menggerakkan usaha memulihkan semula Bersatu Gerik serta menumpukan segala usaha berkhidmat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN