SHAH ALAM – Selepas didakwa 16 pertuduhan rasuah sebelum ini, bekas Ahli Parlimen (MP) Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60 di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda yang bertugas di agensi itu menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan kenderaan bernombor WRD 8251 milik isterinya berjumlah RM640, RM3,400 dan RM901 serta penyelenggaraan kenderaan bernombor WVN 3936 miliknya bernilai RM1,303.
Noor Ehsanuddin, 56, turut didakwa menerima yuran guaman bernilai RM6,463.60 bagi pembelian tanah di Mukim Kota Tinggi, Johor.
Kesemua itu didakwa diterima tertuduh menerusi cek daripada syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd yang mana dia mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya.
Perbuatan bagi lima pertuduhan itu dilakukan di sebuah kedai servis kenderaan di Jalan Ulu Klang, Ampang, sebuah firma guaman di Subang Jaya dan sebuah kedai perkhidmatan tayar dan bateri di Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34, Klang antara 10 Januari 2014 hingga 8 Disember 2015.
Justeru itu, tertuduh didakwa bagi kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Hazirah Azeman menawarkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanpun, peguam Datuk Thrichelvam Rasiah yang mewakili tertuduh tidak membantah tawarkan jaminan itu namun memaklumkan pasport anak guamnya telah diserahkan kepada Mahkamah Sesyen Johor Baharu di mana tertuduh menghadapi dua pertuduhan menerima suapan pada 10 Februari lalu.
“Anak guam saya juga menghadapi 14 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam,” katanya.
Hakim Rozilah kemudian membenarkan Noor Ehsanuddin dibebaskan dengan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan 15 Mac depan. – K! ONLINE









