RASAH 13 Feb. – Bekas Ketua Balai Polis Tanah Merah, Port Dickson mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah pada tahun 2014.
Sarjan Abdul Qayum Vekapady Abdullah, 59, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Junaidah Mohd. Isa selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima RM500 daripada M. Moorthy untuk tidak mengambil tindakan dan memberi perlindungan kepada lori yang digunakan lelaki itu yang melalui kawasan pentadbiran Balai Polis Tanah Merah.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meminta rasuah berbentuk telefon bimbit daripada individu sama sebagai dorongan tidak mengambil tindakan dan memberi perlindungan kepada lori digunakan Moorthy yang melalui kawasan pentadbiran Balai Polis Tanah Merah.
Abdul Qayum Vekapady didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Lot 7271, Pekan Tanah Merah Utara, Kampung Baru Site C, Port Dickson pada pukul 1.40 tengah hari hingga 2.10 petang pada 5 Mac 2014.
Dalam pertuduhan ketiga pula, dia didakwa menerima RM1,000 bagi membeli telefon bimbit Iphone 5 untuk dirinya, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan yang sama daripada lelaki yang sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Restoran Old Town White Coffee, Port Dickson pada pukul 3.40 petang, 6 Mac 2014.
Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, Abdul Qayum didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009, memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun serta denda sehingga lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.
Prosiding kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanah Mohd Nawawi dan Karmila Mokhtar, manakala tertuduh diwakili peguam, Rajinder Singh.
Hakim menawarkan jaminan RM15,000 bagi tiga pertuduhan tersebut dan menetapkan 19 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. – UTUSAN ONLINE










