KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas 14 pertuduhan menerima rasuah ansuran kereta daripada sebuah syarikat percetakan bernilai RM23,540.68 lima tahun lalu.
Tertuduh yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-14, Noor Ehsanuddin, 56, didakwa sebagai penjawat awam, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Felda yang bertugas di agensi itu telah menerima suatu benda berharga iaitu bayaran ansuran kenderaan bernilai RM23,540.68 melalui cek daripada Karya Hidayah Sdn. Bhd. yang mana tertuduh mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya.
Difahamkan kereta tersebut adalah jenis BMW 5 Series.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan Taman Maluri, Jalan Mahkota di sini antara 10 Februari 2014 hingga 9 November 2015.
Berikutan itu kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – K! ONLINE










