Bekalan elektrik terjejas 30 minit gara-gara cubaan curi kabel  - Utusan Malaysia

Bekalan elektrik terjejas 30 minit gara-gara cubaan curi kabel 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Lebih 5,000 pengguna di daerah ini terjejas bekalan elektrik selama 30 minit tengahari semalam gara-gara perbuatan seorang lelaki berusia 27 tahun cuba mencuri kabel elektrik di pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di belakang sebuah stesen minyak di Ambang Kota, Chuah dekat sini. 

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek yang pernah ditahan atas kesalahan dadah serta mencuri bagaimanapun berjaya dikesan oleh pihak polis di Hospital Port Dickson petang semalam. 

Menurut beliau, lelaki yang telah berkahwin dan beralamat di Taman Lukut Makmur itu berada di hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan selepas dia dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan jenayah itu.  

“Polis yang menerima maklumat kejadian curi kabel elektrik pada pukul 12.05 tengahari membuat semakan melalui Unit Kecemasan Hospital Port Dickson dan pihak hospital mengesahkan menerima seorang pesakit dalam keadaan seluruh muka dan hampir 20 peratus badannya melecur,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam. 

Aidi Sham berkata, polis berjaya mengesan lelaki itu di Hospital Port Dickson berdasarkan maklumat awam yang menyatakan mereka terdengar letupan kuat di pencawang elektrik tersebut sebelum bekalan elektrik terputus di kawasan Site C, Chuah sehingga ke Bukit Palong. 

Kata beliau, orang awam seterusnya memaklumkan pihak polis mereka melihat seorang lelaki dalam keadaan tergesa-gesa dan baju terkoyak seperti terbakar melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki sebuah motosikal sejurus letupan itu berlaku. 

Justeru, katanya, pihak polis membuat semakan di Hospital Port Dickson dan pihak hospital mengesahkan ada menerima seorang pesakit lelaki melecur.

Jelas beliau, juruteknik TNB yang melakukan pemeriksaan turut mengesahkan terdapat kehilangan komponen elektrik di pencawang elektrik tersebut dan kes disiasat dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. 

“Suspek yang dirawat di Zon Merah Hospital Port Dickson telah dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban memandangkan keadaannya agak kritikal akibat terkena renjatan elektrik,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN