MUNICH 16 Feb. – Manuel Neuer menyedari bahawa pertahanan Bayern Munich perlu diperbaiki sekiranya berhasrat untuk menundukkan Liverpool dalam saingan kalah mati Liga Juara-Juara.
Neuer yang kembali beraksi selepas terlepas tiga perlawanan kerana kecederaan ibu jari mengalami mimpi ngeri apabila dibolosi seawal 13 saat permainan berlangsung ketika mereka menang 3-2 ke atas Augsburg selepas Leon Goretzka menjaringkan gol sendiri.
Kingsley Coman meledak dua gol penyamaan sebelum David Alaba melengkapkan kemenangan Bayern.
Neuer berkata, pasukannya perlu menghentikan ‘kegilaan’ di bahagian pertahanan terutama menjelang aksi pertama saingan kalah mati Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Anfield, Rabu ini.
“Perlawanan berlangsung dengan baik tetapi, melepaskan jaringan adalah sesuatu yang gila. Saya tidak seharusnya melakukan perkara itu.
“Kami tidak mahu dibolosi lagi, nasib kami kerana kami masih ada masa selepas ketinggalan 0-1.
“Liverpool sudah pasti ada banyak peluang untuk menjaringkan gol.
“Kami terperangkap dua kali di bahagian sayap, kami perlu lebih mengawal pemainan terutama di dalam kawasan penalti menerusi hantaran-hantaran kemas bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.
Kejayaan itu menyaksikan mereka kini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund.-AGENSI










