SAUDARA PENGARANG,
CADANGAN kerajaan untuk membina lapangan terbang baharu di Pulau Tioman dibantah sekeras-kerasnya atas beberapa faktor.
Lebih pelik apabila kerajaan tidak mahu menggunakan lapangan terbang sedia ada yang hingga kini terbiar begitu sahaja dan tidak digunakan lagi.
Bantahan itu disokong oleh lebih 95 % penduduk Kampung Genting dan Kampung Paya yang dianggarkan 400 orang tidak termasuk orang luar yang datang bekerja di pulau ini.
Antara faktor bantahan tersebut ialah pembinaannya akan menghilangkan punca pendapatan penduduk tempatan yang selama ini bekerja sebagai pengusaha bot, pemandu pelancong, pengusaha calet kecil-kecilan dan pekedai.
Adalah dikhuatiri lapangan terbang baharu yang dicadangkan di kawasan berhadapan Kampung Genting bakal ‘menutup’ punca rezeki penduduk di situ. Apabila ada lapangan terbang baharu, maka akan terdapat pula pembinaan calet atau resort bertaraf tiga hingga lima bintang.
Penduduk akan hilang hak tuntutan tanah di pulau ini kerana dikhabarkan pembinaan lapangan terbang itu tidak melibatkan peruntukan kerajaan Pusat atau negeri.
Namun sejumlah besar tanah atau kawasan di pulau itu akan diserahkan kepada syarikat terbabit sebagai timbal balas. Dikhabarkan tanah yang akan diserahkan itu melibatkan ratusan hektar.
Kami juga kecewa kerana sejak tahun lalu setelah dikhabarkan mengenai pembinaan lapangan terbang tersebut hingga kini, tiada pihak datang berbincang dengan penduduk dan menjelaskan keadaan sebenar seolah-olah perancangan ini hendak dirahsiakan, kemungkinan ada kaitan dengan pengambilan tanah.
Sebagai penduduk kami bukan membantah pembangunan. Ini memang jelas tetapi kerajaan sepatutnya mengguna lapangan terbang sedia ada di Kampung Tekek.
Lapangan terbang sedia ada boleh dipertingkatkan lagi kemudahannya. Yang pelik, boleh dikatakan lapangan terbang sedia ada sudah lama tidak digunakan, dengan kata lain tiada penerbangan yang masuk atau keluar dari Pulau Tioman.
Oleh itu mengapa hendak dibina pula lapangan terbang baharu? Kepada kerajaan Pusat dan negeri, fikirkanlah tentang perkara ini.
Belalah nasib penduduk dan bukannya mengutamakan syarikat berkenaan.
AZMAN AWANG MOHD.
Ketua Kampung Genting/Paya










