PEMERGIAN penjaga gol legenda dunia, Gordon Banks ketika tidur 12 Februari lalu pada usia 81 tahun bukan sahaja meninggalkan legasi di dalam padang tetapi juga di luar bola sepak.
Jasad kakunya yang hanya akan dikebumikan dalam satu upacara khas di Stoke Minster pada 4 Mac ini adalah bagi mengenang jasanya sebagai pemain dan presiden kepada kelab Stoke City.
Namun Banks sebenarnya lebih dikenang atas kecemerlangannya sehingga berjaya menghadiahkan Piala Dunia 1966 buat julung kali kepada England selepas menewaskan Jerman Barat 4-2 dalam final. Itulah gelaran pertama dan terakhir berjaya diraih The Three Lions.
Walaupun namanya semakin melonjak ekoran aksi akrobatik yang dilakukan ketika menyelamatkan tandukan Pele pada Piala Dunia 1970, namun England gagal mengulangi kejayaan muncul juara sehingga hari ini.
Datang daripada sebuah keluarga miskin di Sheffield dan pernah berhenti sekolah untuk bekerja di lombong arang batu pada usia 15 tahun, Banks ketika akhir hayatnya berjaya menukar hidup menjadi seorang yang kaya dan rajin melakukan kebajikan selain meninggalkan legasi yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Menurut portal Gossip Gist yang merujuk daripada beberapa sumber dalam talian, Banks bukan sahaja meninggalkan isteri, Ursula serta tiga anak iaitu Wendy, Julia dan Robert tetapi juga kekayaan bernilai AS$15 juta (RM62 juta).
Kebanyakan kekayaannya itu diperoleh menerusi karier bola sepak sama ada sebagai pemain, jurulatih mahu pun presiden kelab Stoke City, jawatan terakhir yang dipegang sejak tahun 2000 sebelum meninggal dunia.
Ini termasuk ketika membuat 73 penampilan antarabangsa bersama The Three Lions, 300 perlawanan bersama Leicester City sebelum berpindah ke Stoke pada 1967, yang mana dia membuat 194 penampilan selama enam tahun.
Bersama Stoke, Banks dua kali layak ke separuh akhir Piala FA selain menjulang Piala Liga 1972. Dia kemudian menjadi presiden kelab tersebut menggantikan Sir Stanley Matthews yang meninggal dunia ketika itu sehingga ajalnya pula tiba pada 12 Februari lalu.
Banks pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 1972 yang menyebabkan dia kehilangan penglihatan mata kanan, sekali gus memaksanya bersara daripada bola sepak pada usia 34 tahun dan ketika masih bergelar penjaga gol No.1 England serta Stoke.
Selepas bersara sebagai pemain dan jurulatih, Banks tidak pernah lupa asal usulnya dengan banyak melakukan kerja-kerja kebajikan membantu orang yang tidak berkemampuan seperti kanak-kanak, mereka yang berpenyakit dan hospital.
Antaranya menjadi duta golongan Alzheimer malah dua minggu sebelum kematiannya, Banks sempat bertanya tentang lelongan gambar aksi beliau menyelamatkan tandukan Pele yang tertera tandatangannya bagi tujuan kebajikan.
Banks yang disahkan menghidap kanser buah pinggang pada 2015 tidak pernah duduk diam walaupun dalam keadaannya yang semakin uzur sehingga dia cukup disenangi kerana keikhlasan dan sikap rendah dirinya.
Dia sanggup menjual pingat Piala Dunia 1966 kepada syarikat lelongan Christie dengan harga 124,750 pound (RM663,000) pada 2001 semata-mata untuk membeli rumah pertama buat ketiga-tiga anaknya.










