KUALA LUMPUR 20 Feb. – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) menerusi Nuri Nutrisi menyampaikan sumbangan kepada Mardinah Dabe Martin Abdullah sekeluarga bagi meringankan bebanan keluarga tersebut.
Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, penyerahan sumbangan itu diberikan bagi membantu anak-anak Mardinah menjalani aktiviti pembelajaran harian seperti kanak-kanak yang lain.
“Menerusi kunjungan tersebut, Bank Rakyat telah menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian dan kelengkapan sekolah selain turut menyerahkan keahlian Kelab Nuri secara percuma sebagai medium untuk simpanan wang serta perlindungan takaful kepada anak-anaknya.
“Kad Nutrisi turut diberikan kepada dua orang anak Mardinah yang sedang bersekolah bagi melayakkan kedua-dua pelajar tersebut untuk diberi bantuan makanan di sekolah selama setahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu sumbangan itu disampaikan Pengarah Kanan Kementerian Pembangunan Usahawan, Abkari Abdullah kepada keluarga itu di kediaman mereka, Selasa lalu.
Yang turut hadir Ketua Wilayah Kelantan dan Terengganu Bank Rakyat, Azman Abd Aziz.
Mardinah, 35, merupakan seorang ibu tunggal sedang membesarkan empat orang anaknya menjadi tumpuan selepas kisah kesusahan mereka tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu. – UTUSAN ONLINE










