SUNGAI PETANI 7 Feb. – Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menjelaskan konsep Bangsa Kedah yang dicadangnya hanyalah sekadar contoh untuk mengukuhkan lagi perpaduan sesama masyarakat negeri ini.
Ujar Pengerusi PKR negeri itu, perkara utama yang harus menjadi fokus adalah kesatuan masyarakat yang jitu supaya Kedah terus membangun dengan baik daripada segenap aspek.
“Saya sebut semalam bagaimana kita boleh melihat contoh konsep acuan Johor iaitu mereka sanggup melaungkan perkataan Bangsa Johor dan semangat inilah yang patut kita ikut.
“Perkara itu akan dapat menyatukan masyarakat tanpa ada pagar-pagar pemisah di antara kita, tetapi maksud saya bukan kita harus jadi nasionalis yang totok sehingga tidak boleh berkawan dengan orang negeri lain,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Johari hadir pada Pertandingan Bola Sepak anjuran Komuniti Tikam Batu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekula Jaya, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sifat kenegerian perlu ada had supaya tidak mengenepikan perpaduan negara yang jauh lebih mustahak.
Ujar Mukhriz, perkataan Bangsa Kedah tidak pernah wujud dalam Undang-Undang Tubuh Kedah berbanding Johor yang memang termaktub dalam perlembagaan negeri berkenaan. – UTUSAN ONLINE










