terdapat pelbagai jenis pemasaran di luar sana, antaranya pemasaran digital, pemasaran media sosial, pemasaran Facebook, pemasaran kandungan, pemasaran SEO, penjenamaan dan beberapa nama lain lagi.
Tahukah anda setiap daripada kaedah ini memerlukan pengetahuan, kepakaran dan pengalaman berbeza? Sekiranya masih kabur tentang ini, mungkin ini masa yang sesuai untuk anda belajar dengan cepat kerana tanpa pengetahuan sebegini, anda mungkin ketinggalan jauh berbanding pesaing dalam industri yang sama.
Pengalaman pengguna
Dahulu pemasaran hanya terikat dengan kaedah tradisional sahaja. Apabila kita terdengar pemasaran dahulu, kita akan terbayang seorang yang berpakaian kemas dan beg berisi katalog.
Ataupun papan tanda di tepi jalan, poster di kedai-kedai dan iklan di media massa. Paling dahsyat sekali apabila mendapat panggilan telefon yang tidak diingini tentang produk kewangan.
Pengalaman pengguna pada masa lalu juga sangat menyedihkan. Bukan sahaja kita sakit hati dan menyampah mendapat panggilan untuk membeli insurans dan unit amanah, kes penipuan juga sering terjadi setelah produk atau perkhidmatan itu dibeli kerana tidak tahu betapa teruknya produk sesuatu jenama itu.
Mereka yang tertipu pula tidak dapat memberi amaran awal kepada pengguna lain kerana tiada platform seperti internet yang dapat menghubungkan semua orang dalam masa singkat dan secara langsung.
Apa yang mereka boleh lakukan hanyalah memberitahu kepada individu-individu yang rapat sahaja tentang betapa teruknya jenama itu.
Platform pelbagai dimensi
Zaman internet yang serba canggih ini banyak membantu sebenarnya. Dengan adanya internet, fungsi pemasaran kini sama sekali berubah. Pemasaran pada era ini, kebanyakan perhatian tertumpu kepada peranti mudah alih dan komputer. Di sini, peranan para pemasar juga berubah mengikut peredaran selera mata pengguna.
Ia seolah-olah membuka pemasaran kepada platform pelbagai dimensi. Dengan adanya Facebook, Twitter, LinkedIn, Instagram, Pinterest, YouTube, Snapchat dan lain-lain, menjadikan keadaan semakin keliru kepada para pemasar. Platform yang mana satu harus mereka gunakan?
Bukan sahaja pemasar, jenama itu sendiri juga tahu di mana platform yang sesuai untuk jenama mereka berada.
Bagi menjawab persoalan ini, jenama tersebut perlu terlebih dahulu tahu siapakah sasaran pelanggan mereka dan bagaimana tingkah laku mereka di internet.
Jenama tersebut juga harus kenal pasti beberapa faktor penting seperti bagaimana meraih kepercayaan pengguna, apakah yang membuatkan mereka membeli, bagaimana mereka membuat pilihan dengan siapa mereka akan membeli dan paling utama, adakah mereka menggunakan perbelanjaan sendiri ataupun syarikat.
Strategi pemasaran
Jawapan kepada soalan-soalan ini sangat penting bagi menentukan bukan sahaja strategi pemasaran anda, tetapi juga keseluruhan model perniagaan anda sama ada mampu pergi jauh dan berjaya, sekadar mampu bertahan sahaja ataupun perniagaan tidak bertahan lama.
Dengan kata lain, pada era ini, ia bukan semata-mata untuk memasarkan produk dan perkhidmatan sahaja. Ia sebenarnya lebih mendalam daripada itu.
Maksudnya? Begini. Pada peringkat awal, para pengguna ingin faham terlebih dahulu tentang tiga perkara penting :
Apakah perniagaan anda?
Apakah bezanya anda dan kelebihan yang ada kalau dibandingkan dengan jenama produk atau perkhidmatan yang mereka sedang gunakan hari ini?
Adakah anda mampu membantu mereka mendapatkan kehidupan yang lebih baik dari aspek peribadi, profesional atau kedua-duanya.
Apabila wujud kefahaman tadi, mereka akan membuat beberapa ‘kajian’ ringkas sama ada melalui Google atau media sosial dan mendapatkan pengesahan daripada rakan, jiran atau saudara-mara tentang mengapa perlu memilih dan menggunakan produk anda dan berhenti menggunakan produk daripada jenama yang ada sekarang.
Para pengguna tidak lagi seperti dahulu. Kini, maklumat hanya di hujung jari. Mereka tidak hanya memandang permainan pemasaran anda sahaja, tetapi lebih daripada itu.
Jadi strategi pemasaran yang kukuh sahaja tidak mencukupi. Kepakaran anda yang hebat di Facebook sahaja tidak mencukupi sekiranya produk anda masih tidak berkualiti, proses dalaman syarikat anda masih kelam-kabut dan para pekerja anda masih lagi angkuh dengan pelanggan.











