Ayah sertai Bersatu, anak setia bersama UMNO - Utusan Malaysia

Ayah sertai Bersatu, anak setia bersama UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 13 Feb. – Ketua Pemuda UMNO Tanah Merah, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham tetap setia bersama parti itu walaupun bapanya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen kawasan tersebut menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam tadi. 

Ikmal Hazlan turut menegaskan hubungan sebagai anak dengan bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu tidak akan putus walaupun kini berbeza ideologi politik.

“Selaku Ketua Pemuda UMNO Tanah Merah dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.  Saya akan tetap kekal dengan UMNO walaupun ayah buat keputusan menyertai Bersatu.

“Saya masih yakin dan percaya bahawa UMNO sahaja parti yang mampu memelihara kepentingan Islam dan orang Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Malam tadi, enam bekas Ahli Parlimen UMNO hari ini menyerahkan borang permohonan untuk memasuki Bersatu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ikmal Hisham.

Ikmal Hazlan berkata, kerjasama baik antara UMNO dan Pas menambahkan keyakinan beliau untuk terus berjuang dalam parti itu kerana pastinya memberikan harapan besar kepada majoriti orang Melayu Islam untuk mempertahankan hak dan kepentingan mereka.

“Pemuda UMNO Tanah Merah ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Ikmal Hisham di atas penghijrahan ini dan juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan beliau kepada UMNO Tanah Merah selama beliau berkhimat. 

“Sesungguhnya kekuatan UMNO Tanah Merah hari ini adalah juga hasil titik ahli-ahli umno Tanah Merah yang pernah diketuainya,” katanya.

Katanya, asas yang telah dibina itu juga merupakan garis ukur mengapa Pemuda UMNO Tanah Merah merupakan generasi yang akan menjadi pendorong kepada parti ini pada masa akan datang. 

“Ini adalah peluang terbaik di mana anak anak muda Tanah Merah boleh mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti keremajaan yang telah dirancang oleh Pemuda Tanah Merah. UMNO pasti akan bangkit kembali. InsyaAllah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN