BANGI 9 Feb. – Jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL), A. Arul Selvaraj boleh menghela nafas lega apabila Jawatankuasa Tatatertib Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), hari ini, hanya memberinya amaran berhubung kenyataannya yang dikatakan mengkritik badan induk tersebut, bulan lalu.
Bekas jurulatih negara itu mengaku tersilap ketika memberikan kenyataan dalam sebuah akhbar harian yang bertajuk ‘LHM (Liga Hoki Malaysia) bakal tutup kedai’ dan telah memohon maaf kepada jawatankuasa yang bersidang, hari ini.
“Saya rasa jawatankuasa telah menjalankan tugasnya dengan adil dan memberi peluang saya menjelaskan kedudukan sebenar. Saya mengaku membuat kesilapan dan memohon maaf. Pihak pengurusan UniKL juga maklum tentang hal ini khususnya Presiden, Datuk Amir Azhar Ibrahim yang memberi sokongan kuat,” katanya selepas mengadakan Klinik Kejurulatihan Hoki di Stadium Tengku Abdullah, UniKL, di sini, hari ini.
Arul turut berjanji untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan pada masa hadapan dan hanya mahu menumpukan tugasnya sebagai ketua jurulatih UniKL yang kini mendahului carta LHM 2018.
Mengenai pertemuan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam saingan Divisyen Perdana LHM di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, esok, Arul berkata, pasukannya menang 3-1 dalam pusingan pertama yang lalu dan tewas 0-3 pada separuh akhir Piala Tan Sri P. Alagendra.
“Rumusan saya ialah kami menang tempoh hari kerana memanfaatkan peluang yang terhad tetapi bahayanya TNB ialah mereka ada sembilan atau 10 pemain kebangsaan yang sentiasa cergas.
“Penjaga gol lawan, S. Kumar terbaik di Asia dan dia bertaraf dunia. Jadi, kami kena banyak berdisiplin dalam bertahan dan manfaatkan sebarang serangan balas serta pukulan sudut penalti,” katanya.
Sementara itu, klinik kejurulatihan yang dianjurkan UniKL mendapat sambutan hangat lebih 100 pelajar dari lima buah sekolah. Antara pemain yang hadir ialah Marhan Jalil, Razie Rahim, Sukri Mutalib, Martin Peter Havenga (Belanda) dan David John Harte (Ireland) serta legenda negara, Datuk Mirnawan Nawawi.










