Arca Kilometer Sifar kebangsaan dibuka - Utusan Malaysia

Arca Kilometer Sifar kebangsaan dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 3 Feb. – Arca Kilometer Sifar kebangsaan di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini dibuka secara rasmi kepada orang ramai semalam.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A. Rahman berkata, pembukaan arca itu yang juga dikenali sebagai Kilometer Sifar Johor Bahru menjadi satu lagi penarik di bandar raya ini.

“Rata-rata masyarakat umum tidak mengetahui kewujudan Arca Kilometer Sifar kebangsaan ini dan menganggapnya tidak lebih daripada sebuah sekeping batu papan tanda bersama petunjuk jarak Kilometer Sifar sahaja.

“Sebagai nilai tambah, pihak MBJB berusaha membina sebuah monumen yang berupaya menjadi daya tarikan pelancong ke Johor Bahru,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Jubli Perak MBJB 1994-2019 di sini.

Sambutan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin.

Serentak itu diadakan Larian Kilometer Sifar 2019 melibatkan 300 peserta bagi kategori Terbuka Dewasa melibatkan 12 kilometer (km) dan kategori pelajar dengan 200 peserta (5km).

Amran berkata, langkah menjadikannya sebagai kilometer kebangsaan kerana arca berkenaan mempunyai nilai komersial termasuk nilai pensejarahan bandar.

Selain itu, katanya, arca tersebut terletak di lokasi yang mudah dikunjungi dan juga sebagai aset pelancongan yang diminati pelancong asing untuk bergambar.

Menurutnya, kedudukan arca itu merupakan batu kilometer sifar untuk benua Asia dan juga bermulanya sistem perbatuan di benua Asia yang mempunyai sejarahnya tersendiri.

Kilometer sifar, katanya, merupakan titik pangkal bagi sesebuah bandar, laluan jalan raya atau rangkaian jalan raya kebangsaan dan kilometer sifar di Semenanjung Malaysia terletak di hadapan bangunan MBJB dan bangunan Ibu pejabat Pos Johor Bahru.

“Dari segi sejarah, semua jalan raya utama di Semenanjung Malaysia bertemu di Johor Bahru sebelum dihubungkan ke Singapura melalui Tambak Johor apabila dibuka kepada lalu lintas pada 1924. Johor Bahru menjadi kilometer sifar sejak 91 tahun dahulu.

“Mengapa batu titik kilometer sifar ini tidak terletak di Kuala Lumpur? Ini kerana Kuala Lumpur terletak lebih 380km dari permulaan Jalan Persekutuan 1 dan 40km dari permulaan Jalan Persekutuan 2,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN