APMM tahan bot kelas B langgar zon tangkapan - Utusan Malaysia

APMM tahan bot kelas B langgar zon tangkapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Tindakan bot nelayan tempatan kelas B memukat ikan kurang dari lima batu nautika dari pantai mengundang padah apabila ditahan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Bot nelayan itu ditahan kira-kira pukul 11.45 pagi pada kedudukan 4.2 batu nautika dari barat daya Pulau Ketam di sini.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, penahanan bot berkenaan hasil maklumat daripada orang awam yang terserempak dengan sebuah bot nelayan telah melakukan aktiviti menunda kurang lima batu nautika dari pulau berkenaan.

Beliau berkata, sejurus menerima maklumat terbabit, sebuah bot ronda maritim digerakkan ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Ketika tiba di lokasi, kita telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan sedang leka menunda tanpa menyedari kehadiran bot maritim sehinggalah bot maritim merapat.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, terdapat seorang tekong dan seorang
awak-awak tempatan berusia 51 dan 38 tahun bekerja di atas bot berkenaaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohammad Rosli, siasatan lanjut mendapati mereka telah melakukan
kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menunda kurang dari lima batu nautika dari pantai.

“Pemeriksaan lanjut dalam bot berkenaan turut menemui kira-kira 15 kilogram ikan pelbagai jenis.

“Bot nelayan bersama tekong dan awak-awak kemudiannya dibawa ke jeti Daerah Maritim 4, Pelabuhan Klang di sini untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan melanggar syarat dalam lesen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN