KUALA LUMPUR 12 Feb. – AHLI Parlimen Port Dickson yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Ke-33 di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana di sini 27 Februari ini.
Pengurus Komunikasi Korporat dan Pengurusan Jenama Kumpulan Utusan, Hazura Ahmad Halil berkata, HSKU yang bertemakan Kesultanan Melayu Lama itu turut mendapat kerjasama daripada syarikat penerbitan buku, Tintarona Publications Sdn. Bhd.
“Sebanyak enam kategori dipertandingkan bagi anugerah yang sudah memasuki tahun ke-33 ini iaitu Cerpen Media Baharu, Cerpen Umum, Cerpen Remaja, Puisi, Rencana Sastera serta Novel

Remaja dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM60,000.
“Kesemua karya ini pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah terbitan Kumpulan Utusan antaranya Mingguan Malaysia, majalah Wanita serta Utusan Online sepanjang tahun lalu,” katanya.
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan merupakan acara tahunan anjuran Utusan Melayu (M) Berhad bagi menghargai karya-karya sastera dalam genre cerpen, sajak, novel remaja dan esei.
Menurut Hazura, sejumlah 500 penyertaan diterima bagi anugerah tersebut dan setelah dinilai 38 karya dipilih sebagai pemenang.
Katanya, majlis penyampaian hadiah itu terbuka kepada orang ramai dan kira-kira 1,500 tetamu dijangka hadir.
Beberapa artis popular tanah air juga akan membuat persembahan sempena majlis tersebut selain pertunjukan muzik tradisional seperti gamelan dan caklempong










