SHAH ALAM 18 Feb. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi tumpuan selepas pendedahan terdapat dua parti dalam Pakatan Harapan (PH) mungkin merancang pembelotan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad enggan melayan dakwaan tersebut.
Anwar yang ditemui selepas majlis Syarahan Darul Ehsan di Universiti Selangor (Unisel) bagaimanapun berkata, pendedahan dibuat Setiausaha Agong Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, mengenai isu dibincangkan pihak Pas semasa pertemuan dengan Dr. Mahathir adalah tidak berbangkit.
“Saya tak nak layan kerana dalam hubungan saya dengan Perdana Menteri, perkara ini tidak berbangkit dan tidak penah dibangkitkan dalam Pakatan Harapan,” katanya di sini hari ini.
Takiyuddin dalam sidang akhbar malam semalam, ketika menjawab kontroversi pertemuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, persetujuan bertulis parti itu sebenarnya draf ikrar menyokong Dr. Mahathir jika parti komponen PH memulakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Penjelasan itu susulan dakwaan Dr. Mahathir bahawa Pas tidak akan menyokong UMNO di Semenyih dan perakuan tersebut disebut jelas Perdana Menteri dibuat secara lisan dan bertulis antara beliau dan Pas yang diwakili Abdul Hadi, Takiyuddin serta Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pertemuan berkenaan.
Takiyuddin dipetik sebagai berkata:
“Salinan draf surat itu diberi kepadanya (Dr. Mahathir). Dalam draf itu, kami menyatakan akan bersama Perdana Menteri jika sesuatu berlaku kepadanya.
“Semua bermula dengan kenyataan Dr. Mahathir sendiri. Kita orang politik boleh faham, ada yang tak kena mungkin berlaku dalam PH.
“Dia ada sebut dua parti, saya tak mahu sebutlah,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE








