Anthony digesa kemukakan bukti isterinya dijemput ke mesyuarat di China - Utusan Malaysia

Anthony digesa kemukakan bukti isterinya dijemput ke mesyuarat di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Anthony Loke Siew Fook digesa mengemukakan surat jemputan rasmi dari kerajaan China yang menjemput isteri Menteri Pengangkutan itu ke mesyuarat di negara republik tersebut pada Januari lalu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kegagalan mengemukakan bukti itu menunjukkan kenyataan Ahli Parlimen Seremban itu merupakan penipuan selain mencemar reputasi dan menjejaskan kewibawaan kepemimpinan kerajaan China yang diterajui Presiden Xi Jinping.

Jelas beliau, sepanjang pengalamannya berurusan dengan China, kerajaan itu belum pernah serta tidak mungkin menjemput isteri Menteri Pengangkutan negara ini untuk menghadiri mesyuarat formal melibatkan urusan dua negara.

Beliau malah berkata, lazimnya, menteri sendiri menentukan pegawai yang layak menghadiri mesyuarat rasmi dengan nasihat Wisma Putra.

“Kalau dikatakan Menteri China, Li Xiaopeng yang menjemput isteri Anthony untuk hadir ke mesyuarat tersebut, saya memang syak dan menganggap ia satu pembohongan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Pengangkutan.

“Jika penjelasan Anthony benar, ini pasti mencipta satu sejarah penting yang mengagumkan kerana belum ada isteri Menteri di Malaysia sebelum ini diundang khas untuk menyertai mesyuarat dua hala,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau hari ini.

Semalam, Anthony menjelaskan kehadiran isterinya, Ng Chi Ling dalam mesyuarat di China adalah atas undangan.

Dalam pada itu, Ka Siong turut mempersoal jawatan Chi Ling dalam Kementerian Pengangkutan yang membolehkan beliau hadir pada mesyuarat berkenaan.

Kata beliau, walaupun memang terdapat pekeliling rasmi kerajaan yang membolehkan menteri membawa isteri mereka apabila melakukan lawatan ke luar negara jika tempoh lawatan tidak kurang tujuh hari namun tidak bermakna isteri menteri boleh menyertai mesyuarat rasmi antara dua negara.

“Ini dua perkara yang berlainan, menteri perlu ikut prosedur operasi standard (SOP), norma dan etika kerja sedia ada dan bukan ciptaan sendiri, faham?” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN