SEPANG 3 FEB. – Penduduk Taman Desa Pinggiran Putra di sini menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani masalah ancaman anjing liar di kawasan kediaman mereka dengan lebih berkesan kerana jumlah haiwan itu semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.
Walaupun sehingga kini belum ada kes serangan anjing liar dilaporkan di kawasan berkenaan, kebimbangan berhubung keselamatan orang ramai memerlukan perhatian dan tindakan serius PBT kerana kumpulan haiwan tersebut sering dilihat berkeliaran di kawasan awam.
Dalam isu ini, PBT yang bertangungjawab iaitu Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku dan difahamkan MPSepang sememangnya sentiasa melakukan operasi namun dilihat tidak berkesan.
Walaupun ada pihak yang menyatakan isu anjing liar adalah isu kecil tetapi bagi penduduk di sibi ia tetap satu isu besar kerana perkara itu amat berkait rapat dengan keselamatan dan kepentingan mereka terutamanya keselamatan pelajar-pelajar sekolah dan anak-anak kecil.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebimbangan penduduk ada asasnya apabila beberapa lokasi seperti taman permainan, kawasan sekolah dan surau sememangnya ada anjing liar yang berkeliaran secara berkumpulan dan menimbulkan ancaman kepada mereka.
Pengerusi Persatuan Penduduk Persiaran Lima Desa Pingiran Putra, Radin Mohd. Azmi Radin Abdul Rahman berkata, lebih membimbangkan anjing liar di kawasan berkenaan turut memasuki kawasan kediaman dan mengigit kasut yang ditinggalkan di luar rumah.
“Anjing liar di kawasan ini berkeliaran tidak kira waktu namun, jumlahnya lebih banyak pada waktu malam. Saya berharap perkara ini dapat diatasi dengan lebih serius oleh pihak bertangungjawab bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.
“Memang di sini tiada lagi berlaku kes penduduk atau kanak-kanak digigit anjing liar namun, adalah lebih baik perkara ini diambil tindakan sewajarnya bagi mengelak menjadi parah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Radin Mohd. Azmi merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perunding Penduduk (JPP), Zon Pinggiran Putra berkata, kehadiran anjing liar juga menyebabkan kekotoran di kawasan perumahan apabila haiwan itu kerap mencari makanan di tong-tong sampah.
“Berdasarkan aduan masyarakat setempat, kami mendapati gangguan anjing liar begitu ketara akhir-akhir ini. Saya berharap pihak bertangungujawab menangkap semua anjing liar yang dan anjing berlesen yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.










