PENDANG – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) merancang untuk mewujudkan lebih banyak ladang solar di negeri-negeri di utara Semenanjung terutama Kedah susulan kejayaan projek pertamanya di Titi Akar, Sungai Tiang di sini.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, projek perintis di Titi Akar telah mula membekalkan tenaga solar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak awal tahun lalu dengan sasaran keuntungan kira-kira RM90,000 sebulan.
“Berdasarkan kejayaan itu, kita mahu memperluaskan lagi projek ini di lokasi yang mempunyai kadar penembusan cahaya matahari yang baik seperti di negeri-negeri utara Semenanjung,” katanya kepada pemberita di Tapak Tenaga Solar MyAngkasa Services Sdn. Bhd. di Titi Akar hari ini.
Angkasa membangunkan ladang solar pertamanya di Titi Akar di tapak seluas 1.2 hektar dengan kos RM9.7 juta.
Kata beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri terlibat untuk melaksanakan projek tersebut selain memohon kuota daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).
“Kita biasanya menghadapi masalah untuk mendapatkan kuota, soal tanah tidak menjadi isu kerana koperasi mempunyai banyak tanah manakala modal pula boleh diperoleh dengan menubuhkan konsortium koperasi,” ujarnya.
Ujar Abdul Fattah, usaha Angkasa itu juga selaras dengan hasrat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menjadikan Kedah sebagai ‘negeri hijau’ selain menjadi penyumbang utama tenaga boleh diperbaharui kepada negara.
“Di Kedah, kita mempunyai kira-kira 1000 koperasi dengan keahlian hampir 500,000 orang dan kekuatan itu mencukupi untuk menjayakan projek berkenaan,” jelasnya.
Pada masa sama, kata beliau, pihaknya turut menjana pendapatan sampingan menerusi tanaman halia di tapak projek ladang solar di Titi Akar.
“Kita memanfaatkan tanah di kawasan ladang solar ini dengan tanaman halia yang boleh mula dituai hari ini (semalam). Kita sasarkan pendapatan daripada hasil pertanian ini lebih RM200,000 bagi satu musim,” katanya. – K! ONLINE










