AMK Kedah terkilan Dr. Mahathir terima bekas Ahli Parlimen UMNO - Utusan Malaysia

AMK Kedah terkilan Dr. Mahathir terima bekas Ahli Parlimen UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 13 Feb. – Tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima penyertaan bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu terus mendapat bantahan khususnya dari PKR.

Terbaharu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Mohammed Firdaus Johari pula melahirkan rasa kecewa dengan keputusan tersebut yang seolah-olah menidakkan keputusan rakyat yang telah menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lalu.

Dalam masa sama, Mohammed Firdaus juga terkilan apabila Dr. Mahathir yang pernah membuat kenyataan pada Mei tahun lalu bahawa tidak akan menerima pemimpin UMNO memasuki Pakatan Harapan (PH), namun kini janji itu dimungkiri.

“Kalau kita lihat apabila Dr. Mahathir buka ruang itu (membenarkan kemasukkan pemimpin UMNO dalam PH) ia tidak akan membantu melonjakkan sokongan Melayu.

“Kita kecewa, rakyat juga kecewa. Apabila mereka menyertai PH tidak semestinya tindakan mereka sewaktu berada di dalam kerajaan yang gagal bersuara untuk rakyat dahulu dibersihkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, enam bekas Ahli Parlimen UMNO menyerahkan borang permohonan untuk memasuki Bersatu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Mohammed Firdaus berkata, budaya lompat parti tidak sepatutnya diterima di dalam PH.

“Sepatutnya mereka (bekas Ahli Parlimen UMNO) kekal menjadi pembangkang yang kuat untuk mengimbangi kerajaan pada hari ini. Apabila semua masuk satu bakul (di dalam PH) tidak ada siapa hendak tegur kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN