LYON 19 Feb. – Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde berharap pasukannya dapat mengambil iktibar daripada insiden memalukan pada tahun lalu di Rom apabila mereka akan bertemu Lyon dalam aksi pertama kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi ini (waktu Malaysia).
Juara Sepanyol itu tersingkir daripada kejohanan berprestij di Eropah itu selepas mereka tewas kepada Roma di peringkat suku akhir.
Barcelona tewas 0-3 kepada Roma di Rom dalam aksi timbal balik dan walaupun seri agregat 4-4 namun kelab dari Itali itu memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan.
Berdasarkan rekod, Barcelona sudah tidak memenangi lima perlawanan di tempat lawan di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, tewas empat kali selain hanya menjaringkan satu gol sahaja dan dibolosi 13 gol.
“Ini menunjukkan kejohanan ini sangat sengit namun cabaran perlu diatasi,” kata Valverde.
Valverde berkata pasukannya menunjukkan persembahan memberangsangkan di peringkat kumpulan apabila mencatat empat kemenangan dan seri dua kali malah turut menewaskan Tottenham 4-2 di Wembley.
“Ramai orang cakap kami tidak mampu menjaringkan gol namun kami berjaya membuktikan pada musim ini dengan menentang lawan yang sukar seperti Tottenham dan Inter,” katanya lagi. – AFP











