BERAPA ramai dalam kalangan kita yang gemar memperkenalkan anak-anak terhadap aktiviti berkaitan alam seawal usia? Contohnya aktiviti-aktiviti kesukarelaan berkaitan menanam pokok, membersih pantai atau sungai, menyusuri denai hutan (jungle tracking), berkenalan dengan hidupan, memahami konsep ekologi dan pelbagai lagi.
Atau kita hanya menyerahkan urusan tersebut kepada guru-guru sains yang penyampaian ilmunya terhad hanya di sekolah, maksudnya pembelajaran secara formal. Sebenarnya ibu bapa merupakan suri teladan terbaik buat anak-anak mengenali alam, itu pun jika anda juga merupakan seorang yang berminat ke arah aktiviti-aktiviti tersebut.
Apa yang diperhatikan, ramai dalam kalangan rakyat negara ini gemarkan riadah seperti berkelah di air terjun, sungai dan pantai, namun amat kurang melibatkan diri dalam aktiviti khas seperti yang dinyatakan di atas. Adakalanya kita hanya melihat sampah sarap yang bertaburan di pantai tanpa ada sebarang perasaan, tiada sekelumit pun rasa mahu mengutip dan membuang ke dalam tong sampah yang disediakan.
Mungkin kita merasa malu untuk menjadi ‘terlalu baik’ dalam hal ini, walhal itulah sekecil-kecil perkara yang harus dimulakan agar ia menjadi tauladan kepada anak-anak. Dewasa ini ramai juga dalam kalangan pengamal perubatan tradisional yang mula fokus ke arah terapi alam dengan menyediakan kemudahan dan rumah rehat yang dikelilingi alam.
Ramai yang sedar akan keperluan terapi sedemikian, jika tidak masakan taman-taman botani atau hutan rekreasi dalam negara juga sering menjadi tumpuan orang ramai, kita lebih gemar berseronok dan hanya ‘menikmati’ alam berbanding mendidik anak-anak kita tentang ‘anugerah’ tersebut.
Ada bezanya, jika hanya menikmati keindahan dan ketenangan alam, namun tidak pandai menghargai maka terjadilah isu yang dilihat remeh-temeh seperti pembuangan sampah merata-rata dalam kawasan tersebut. Kita tidak mahu menanamkan rasa sayang anak-anak terhadap alam, sebaliknya hanya mengajar mereka jika mahukan ketenangan, keseronokan bermandi-manda dan berlibur, datanglah ke kawasan-kawasan tersebut.
Sepatutnya pandulah mereka untuk mengemas dan membersihkan kawasan perkelahan setelah selesai pelbagai aktiviti.
Usahlah dibiarkan anak-anak kita terus asyik dibuai teknologi digital masa kini, sekali sekala bawa mereka kembali kepada alam tanpa ada sebarang gajet di tangan. Masyarakat Malaysia hari ini kian ‘mabuk’ dengan teknologi kerana capaian internet kita semakin baik biarpun tidak sehebat negara maju.
Dicatatkan negara bakal menikmati capaian internet sehingga 90 peratus menjelang 2020, bermakna di setiap ceruk negara akan menikmati kemudahan tersebut. Tambahan, telefon pintar juga semakin mudah diperoleh malah menjadi satu keperluan dan kita kian sukar berenggang dengannya.
Berdasarkan kaji selidik firma Pew Research Center, Malaysia merupakan antara negara tertinggi pemilikan gajet dengan mencatatkan kadar penembusan mencapai 65 peratus. Dalam pada itu, laporan Newzoo Global Mobile Market mendedahkan, Malaysia menduduki tangga ke-29 bagi penggunaan internet tertinggi di dunia.
Hasil kaji selidik tersebut mendapati kira-kira 24,572,446 pengguna internet di Malaysia. Berdasarkan jumlah tersebut, 78.7 peratus rakyat Malaysia adalah merupakan pengguna internet tegar.
Hal itu menandakan hampir segenap lapisan rakyat menjadikan telefon pintar sebagai peneman setia mereka sehinggakan menyebabkan ketagihan internet dalam kalangan masyarakat kian membarah.
Antara solusinya, tingkatkan aktiviti bersama atau dalam erti kata lain adalah kembali kepada alam agar dapat didetoks semula minda kita dan anak-anak dengan kehijauan.









