Al Khatiri Kofee setanding kafe jenama antarabangsa - Utusan Malaysia

Al Khatiri Kofee setanding kafe jenama antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 14 Feb. – Selepas kejayaan rangkaian perniagaannya yang meliputi hotel, agensi pelancongan, restoran, gedung tekstil dan kedai serbaneka di negeri ini, Al Khatiri Group kini melebarkan sayap dengan membuka Al Khatiri Kofee di Kubang Kerian, di sini.

Sebahagian daripada pelanggan Al Khatiri Kofee
Sebahagian daripada pelanggan Al Khatiri Kofee 

Pengarah Urusan Al Khatiri Group, Salim Salleh berkata, Al Khatiri Kofee merupakan sebuah kafe yang menawarkan produk kopi terbaik serta berkualiti tinggi dengan suasana serba mewah, eksklusif serta layanan VIP untuk para penggemar kopi di Kelantan.

Meskipun tampak mewah dan eksklusif katanya, pelbagai minuman berasaskan kopi di kafe tersebut dijual dengan harga berpatutan bagi membolehkan pelbagai lapisan masyarakat berpeluang menikmati keenakannya.

“Al Khatiri Kofee beroperasi bermula pukul 7 pagi hingga 2 pagi setiap hari di Al Khatiri Point, Kubang Kerian, iaitu lokasi sama yang menempatkan pelbagai premis kita yang lain seperti Restoran Al Khatiri, Holel Al Khatiri dan banyak lagi.

“Ini adalah percubaan kedua Al Khatiri Group dalam industri makanan dan minuman (F&B) selepas usaha kita membuka Restoran Al Khatiri yang berasaskan makanan Arab eksklusif sejak 2016 mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan,” katanya.

Beliau ditemui selepas perasmian Al Khatiri Kofee yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, di sini baru-baru ini.

Salim Salleh (kiri) mengiringi Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (tengah) merasmikan Al Khatiri Kofee di

Salim dalam pada itu memberitahu, sebagaimana amalan pihaknya dalam perniagaan selama ini, sebahagian daripada perolehan dan keuntungan daripada Al Khatiri Kofee akan dikembalikan kepada umat Islam melalui Yayasan Al Khatiri.

“Yayasan Al Khatiri kini menguruskan Maktab Tahfiz Al Khatiri (MTAK) di kawasan seluas lapan hektar di Pasir Mas. Maktab ini menempatkan 20 pelajar terpilih terdiri daripada anak-anak golongan asnaf.

“Di MTAK, mereka diberikan pendidikan agama dan akuakultur secara percuma. Apabila tamat belajar, anak-anak bukan sahaja mempunyai ilmu agama bahkan mempunyai pengetahuan serta kemahiran dalam bidang akuakultur,” katanya.

Sementara itu, Mohd, Amar memuji usaha Al Khatiri Group mewujudkan kafe berkonsep eksklusif berkenaan di samping menyifatkan produk serta perkhidmatan ditawarkan Al Khatiri Kofee adalah setanding sebuah kafe jenama antarabangsa yang turut beroperasi di bandar ini.

“Di harap Al Khatiri Kofee ini dapat menjadi produk tempatan yang bukan sahaja berkembang ke seluruh negara, malah menembusi pasaran luar negara pada masa depan terutama di negara-negara Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN