Akta halang kemasukan ukiran akan digubal - Utusan Malaysia

Akta halang kemasukan ukiran akan digubal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT 3 Feb. – Kerajaan bercadang menggubal satu akta bagi menghalang pembelian produk ukiran dari luar negara dan dibawa masuk ke negara ini demii kepentingan dan masa depan usahawan ukiran tempatan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammaddin Ketapi berkata,  cara demikian merupakan langkah terakhir  yang  akan diambil  untuk  melindungi   dan menjaga  usahawan ukiran  dari terancam dengan kemasukan ukiran dari luar negara.   
 
Katanya,  langkah pertama  ialah mengadakan peraturan dan undang-undang  supaya sebarang pembelian dan kemasukan perlu mendapat kebenaran daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM).

Menurutnya,  jika ada sebarang produk ukiran dari luar negara yang dibeli tanpa surat kebenaran  daripada PKKM akan dirampas  oleh pihak  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) apabila tiba di pintu masuk  negara ini.
 
“Sekurang-kurangnya ini satu langkah yang baik  untuk menjamin penggunaan produk ukiran negara yang sedia ada dalam negara,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Bersama Usahawan Kraf di Desa Ukiran Kayu, Kampung Raja, dekat sini hari ini.
 
Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Saraya Arbi; Timbalan Ketua Setiausaha  (Pelancongan), Datuk Haslina Abdul Hamid; Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Suryani Senja Alias dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia,  Ibrahim Ismail.
 
Mohammaddin berkata, jika perlu, langkah yang lebih jauh  akan diambil iaitu mengesyorkan kepada Kabinet supaya sebarang pembelian produk ukiran dari luar negara tidak dibenarkan sama sekali.   
 
Sementara itu beliau berkata, bagi menangani masalah  pemasaran produk ukiran itu, agensi di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya akan diminta memberikan keutamaan kepada  ukiran yang diusahakan usahawan tempatan.
 
Mengenai hak cipta ukiran pula, beliau berkata, setakat ini  beliau tidak nampak keperluannya tetapi akan mengambil langkah awal  dengan meminta  Persatuan Pengukir Terenggganu  berbincang dengan kerajaan negeri   supaya satu akta boleh digubal dan dibawa ke peringkat pusat. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×