PADANG BESAR – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis berjaya membongkar kegiatan licik penyeludup menjadikan sebuah rumah kosong di Batu 16, Jalan Kaki Bukit di sini sebagai tempat untuk membungkus daun ketum selepas menyerbu rumah kampung tersebut semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi itu, Aksem menemui sebanyak 568 kilogram (kg) daun ketum yang telah siap dibungkus di dalam beberapa guni selain ada yang berselerakan di atas lantai rumah.
Komander Aksem negeri, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan daun ketum, sepasukan anggota Aksem pergi ke sebuah rumah kosong yang dipercayai telah ditinggalkan lama pemiliknya kira-kira pukul 4.30 pagi kelmarin.
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati tiada penghuni di dalam rumah dan menunggu selama kira-kira sejam namun masih tiada sesiapa yang datang.
“Anggota kemudian bertindak memecahkan pintu hadapan dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah daun ketum yang telah siap dibungkus di dalam plastik lutsinar berjumlah 568kg dengan anggaran nilai RM17,040,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya percaya rumah berkenaan dijadikan tempat untuk menjalankan aktiviti pembungkusan daun ketum sebelum diseludup ke Thailand. – K! ONLINE










