PADANG BESAR 13 Feb. – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) negeri membongkar sebuah rumah kosong yang dijadikan pusat pembungkusan daun-daun ketum dalam serbuan di Batu 16, Jalan Kaki Bukit di sini, semalam.
Dalam serbuan pukul 4.30 pagi itu, anggota pasukan tersebut merampas sebanyak 568 kilogram daun ketum bernilai RM17,000 di dalam beberapa buah guni.
Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, serbuan itu dilakukan hasil daripada maklumat risikan di daerah ini.
Kata beliau, pasukannya telah menunggu lebih sejam di rumah terbabit namun tiada penghuni yang datang sebelum bertindak memecah masuk.
“Hasil pemeriksaan menemukan guni-guni dan daun-daun ketum yang sudah diikat-ikat dalam plastik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Syed Basri, kesemua hasil rampasan diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya. – UTUSAN ONLINE










