KUALA LUMPUR – AirAsia melancarkan laluan baharu dari Kuala Lumpur (KL) ke Chiang Rai yang juga merupakan hab ketujuh dan terbaharunya di Thailand.
Sehingga kini, syarikat penerbangan tambang rendah itu turut mengendalikan enam laluan ke dan dari ibu negeri wilayah utara Thailand termasuk perkhidmatan sedia ada dari Bangkok Don Mueang dan Hat Yai.
Pengarah Operasi Darat AirAsia Thailand, Witchunee Kuntapeng berkata, syarikat akan menempatkan pesawat Airbus A320ceo di Lapangan Terbang Antarabangsa Mae Fah Luang, Chiang Rai selain akan turut mengendalikan perkhidmatan baharu ke Phuket, Singapura dan Macau.
“Chiang Rai mempunyai potensi besar untuk menjadi salah satu destinasi pelancongan utama di Thailand dengan budaya Lanna yang unik dan cara hidup suku kaumnya yang telah mendapat perhatian global baru-baru ini.
“Kami yakin ini merupakan masa yang tepat mempromosikan Chiang Rai kepada para pelancong, malah syarikat turut menerima respon memberangsangkan terhadap empat laluan baharu antara Chiang Rai dan Phuket, Macau, Singapura dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Kuntapeng menjelaskan, penerbangan dari Kuala Lumpur menyaksikan faktor muatan sebanyak 85 peratus, membuktikan usaha syarikat penerbangan tersebut untuk mempromosikan Chiang Rai sebagai destinasi pelancongan utama oleh pelancong antarabangsa.
“Pembukaan laluan baharu itu turut dijangka membantu membangunkan komuniti pelancongan serta perniagaan tempatan,” ujarnya.










