Ahmad Said serah kepada ADUN pembangkang buat keputusan - Utusan Malaysia

Ahmad Said serah kepada ADUN pembangkang buat keputusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 11 Feb. – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyerahkan kepada 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri untuk memutuskan pengganti Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai ketua pembangkang DUN yang baharu.

Ahmad berkata, perkara itu memerlukan perbincangan wakil-wakil rakyat pembangkang dan beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenainya termasuk soal kesediaan untuk mengisi kekosongan itu.

“Saya tidak tahu tentang berita ini kerana baharu selesai mesyuarat di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur.

“Perkara ini memerlukan perbincangan dalam kalangan wakil rakyat pembangkang dan kita tengok macam mana keputusan mereka nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baharu pada 11 Januari lalu bagi menggantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Naib Presiden UMNO.

Peletakan jawatan Ahmad Razif sebagai ketua pembangkang DUN Terengganu berkuatkuasa serta merta menerusi surat peletakan jawatan yang dihantar kepada Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali pada Isnin lalu.

Ahmad Razif dilantik sebagai ketua pembangkang untuk tempoh sepenggal ini setelah BN negeri yang diterajuinya tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×