500 meriahkan Karnival IKS zon Selatan - Utusan Malaysia

500 meriahkan Karnival IKS zon Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 14 Feb. – Lebih 500 pengunjung hadir memeriahkan sambutan ulang tahun ketujuh stesen Petronas Semabok dan pelancaran mini karnival industri kecil dan sederhana (IKS) peringkat zon Selatan yang diadakan di stesen minyak itu di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di sini hari ini.

Program yang kali pertama diadakan di stesen minyak itu merupakan kerjasama syarikat Petronas Dagangan Berhad (PDB) bagi meraikan pelanggan selain mengetengahkan produk-produk jualan pengusaha IKS tempatan.

Pengusaha stesen Petronas AMJ Semabok, Noriati Nasir berkata, sebanyak 31 gerai jualan yang diusahakan pengendali IKS dari dalam dan luar Melaka menawarkan barangan dengan harga tawaran kepada pengunjung.

“Antara produk yang dijual termasuk makanan, minuman dan buah-buahan tempatan, produk kesihatan dan kecantikan serta pelbagai jenis barangan lain.

“Pihak kami berbesar hati kerana PDB memilih lokasi stesen ini sebagai tempat pertama penganjuran karnival mini dan selepas ini difahamkan beberapa lagi stesen akan mengadakan mini karnival yang sama,” katanya ketika ditemui pada program itu sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengurus Jualan Runcit dan Operasi PDB, Azureen Azita Abdullah; Pengurus Jualan PDB, Mohd. Ashraff Zainal dan Pengurus PDB Wilayah Selatan, Erwannudin Noor.

Sepanjang program bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang itu, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis jemputan antaranya Zur Eda; Abon; Serina Chef Wan; Dazrin Kamaluddin; Isma AF dan Alif AF. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN