KUCHING – Seramai 40 anak Sarawak yang ditahan di penjara Kemboja kerana disyaki terlibat aktiviti perjudian dalam talian secara haram selamat tiba di Terminal VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, pada pukul 2.20 petang hari ini, bersama-sama tiga lagi bekas tahanan dari Sabah.
Kesemua mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Kemboja pada pukul 10.35 pagi menaiki penerbangan khas bersama-sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah serta ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Pengerusi Badan Bukan Kerajaan Antarabangsa, Datuk Mustapha Ahmad Marican dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Kemboja Oknha, Datuk Othsman Hassan turut menghantar mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap.
Suasana hiba menyelubungi terminal itu sebaik sahaja kesemua bekas tahanan keluar dari pesawat JC International Airlines apabila bertemu keluarga masing-masing yang sudah menunggu sejak pukul 1 tengah hari.
Tangisan kegembiraan dan kesyukuran mengalir membasahi pipi ketika anggota keluarga serta bekas tahanan saling berpelukan untuk melepaskan kerinduan setelah lebih dua bulan ‘terpisah’. – Bernama










